Ibu Zayn Rayyan dihukum kerana keganasan pihak ketiga tidak dikenali

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 9:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu Zayn Rayyan dihukum kerana keganasan pihak ketiga tidak dikenali
Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

SHAH ALAM – Pembelaan yang mewakili ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Ismanira Abdul Manaf telah dihukum kerana keganasan yang dilakukan oleh pihak ketiga yang tidak dikenali, sehingga meragut nyawa kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.

Peguam, Tiara Katrina Fuad yang mewakili Ismanira, 31, berkata demikian ketika prosiding hujahan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autism itu, di hadapan Hakim, Noor Hisham Ismail.

Beliau berkata, pada Disember 2023, bekas pegawai penyiasat kes kehilangan Zayn Rayyan, Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, telah menerima panggilan telefon yang memaklumkan kepadanya bahawa si mati telah ditemui di Blok R.

Bagaimanapun katanya, saksi pendakwaan keempat (SP4) yang kini bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor tidak merekodkan nombor telefon pemanggil dan identitinya dalam diari siasatan.

“Ini merupakan satu petunjuk penting yang tidak disiasat maka keterangan tersebut mampu menyokong kesimpulan bahawa si mati telah terpisah secara tiba-tiba daripada anak guam.

“Arwah masih hidup untuk tempoh yang agak lama dan kemudiannya bertemu dengan pihak ketiga yang tidak dikenali,” katanya.

Susulan itu beliau berhujah, dapatan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bahawa penglibatan pihak ketiga sebagai suatu perkara yang difikirkan kemudian, adalah bercanggah dengan rekod.

Menurutnya, ini kerana isu tersebut telah dibangkitkan secara jelas semasa kes pendakwaan melalui pemeriksaan balas terhadap SP4 dan SP17, pengasuh mangsa, Auni Afiaqah Abas, 31.

Katanya, kemungkinan tersebut timbul daripada keterangan pihak pendakwaan sendiri dan bukan semata-mata daripada pembelaan perayu.

“Dakwaan bahawa kelakuan perayu menyebabkan kehilangan nyawa si mati, bukanlah kesalahan yang didakwa mahupun dibuktikan terhadapnya,” katanya.

Selain Tiara, perayu turut diwakili peguam, Haijan Omar, Lavanesh Haresh dan Haresh Mahadevan.

Pada 6 Disember 2023, kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, pada 21 Julai 2025, Zaim Ikhwan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Sementara pada 31 Oktober tahun sama, Hakim, Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun kerana mengabai kanak-kanak malang itu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved