Keputusan ibu Zayn Rayyan kekal penjara atau bebas 28 September

19 Aug 2026 • 6:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keputusan ibu Zayn Rayyan kekal penjara atau bebas 28 September
Ismanira (dua dari kanan) dibawa selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu selesai. Gambar kecil Zayn Rayyan
Image from: Keputusan ibu Zayn Rayyan kekal penjara atau bebas 28 September
Ismanira (kanan) yang memakai baju kurung dan bertudung hitam dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.
Image from: Keputusan ibu Zayn Rayyan kekal penjara atau bebas 28 September
Ismanira (dua dari kanan) dibawa selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu selesai.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan September depan untuk keputusan rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.

Hakim, Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam-peguam yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 31, selaku perayu dan pendakwaan selaku responden.

“Saya perlukan sedikit masa, jadi mahkamah menetapkan keputusan pada 28 September depan,” katanya.

Dalam prosiding berkenaan, ibu kepada dua anak itu diwakili peguam, Tiara Katrina Fuad, Haijan Omar, Lavanesh Haresh dan Haresh Mahadevan.

**media[3620138]**

Sementara, pendakwaan selaku responden dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan, 31, dan Ismanira didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan pada 21 Julai 2025, Hakim, Dr Syahliza Warnoh melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu membela diri.

**media[3620140]**

Sementara pada 31 Oktober tahun sama, mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak malang itu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved