Ibu Zayn Rayyan sepatutnya didenda, bukan penjara lima tahun - Peguam

19 Aug 2026 • 10:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu Zayn Rayyan sepatutnya didenda, bukan penjara lima tahun - Peguam
Peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Ismanira Abdul Manaf sepatutnya didenda dan bukannya dipenjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.

SHAH ALAM – Peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Ismanira Abdul Manaf sepatutnya didenda dan bukannya dipenjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.

Peguam, Lavanesh Haresh yang mewakili Ismanira, 31, selaku perayu berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap anak guamnya di hadapan Hakim, Noor Hisham Ismail.

Beliau berkata, hukuman pemenjaraan yang dikenakan terhadap ibu kepada dua anak itu agak berlebihan.

Katanya, Ismanira merupakan pesalah kali pertama dan memberikan kerjasama sepanjang siasatan serta perbicaraan.

“Tiada saksi menggambarkan dia sebagai seorang yang ganas atau ibu yang tidak menyayangi anak sulung tersebut.

“Kecuaian yang didakwa berlaku hanya selama beberapa saat, malah dia segera berpatah balik untuk mencari kanak-kanak tersebut,” katanya yang hadir bersama peguam, Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad dan Haresh Mahadevan.

Lavanesh berkata, perayu telah kehilangan anak istimewa itu, manakala anak keduanya juga didapati autisme, sekali gus memerlukan penjagaan daripada seorang ibu.

Katanya, pihak pendakwaan selaku responden gagal membuktikan bahawa hukuman penjara lima tahun sebagai tidak mencukupi, justeru rayuan mereka berhubung hukuman itu wajar ditolak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira serta mempertimbangkan rayuan perayu sebelum menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Noor Hisham kemudian memetik hujahan pembelaan bahawa, ibu kepada dua anak itu telah mengalami kesengsaraan susulan kehilangan anak syurga tersebut, ditambah pula dengan penyeksaan di tirai besi.

Menjawab perkara itu, Raja Zaizul Faridah berkata, alasan bahawa tertuduh merupakan ahli keluarga kepada kanak-kanak yang diabaikan tidak wajar dijadikan faktor untuk mengurangkan hukuman.

“Jika tertuduh merupakan ibu bapa atau saudara kepada mangsa, sekiranya dituduh dan didapati bersalah, perkara itu tidak boleh dijadikan pengukur kepada jumlah hukuman.

“Justeru, responden memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada orang lain dan perayu sendiri,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Ahmad Iqbal Azman.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan ibu Zayn Rayyan kekal penjara atau bebas 28 September

Ibu Zayn Rayyan berjalan 61 saat sebelum sedar anak hilang bukan pengabaian - Peguam

Ibu Zayn Rayyan dihukum kerana keganasan pihak ketiga tidak dikenali

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 31 didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan pada 21 Julai 2025, Hakim, Dr Syahliza Warnoh melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu membela diri.

Sementara pada 31 Oktober tahun sama, mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak malang berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved