Kita biasa dengar yang syarikat teknologi mempunyai banyak idea untuk konsep-konsep peranti atau ciri menarik. Kebiasaannya, mereka akan mendaftar paten untuk idea ini. Ada yang cepat menjadi realiti dan ada juga yang terus terkubur dalam arkib jutaan paten. Terbaru, paten bagi Apple Vision Pro telah ditemui dan tarikhnya cukup menarik.

Apple nampaknya telah menampak visi Apple Vision Pro sejak tahun 2008. Malah, lakaran dalam dokumen paten pun kelihatan lebih kurang sama dengan produk akhir. Konsep yang dinyatakan dalam dokumen tersebut adalah “… sejenis paparan dalam bentuk peranti boleh pakai yang boleh mensimulasikan persekitaran sebenar di dalam alam maya dengan bantuan sensor pintar. Sensor ini boleh mengesan pergerakan kepala dan juga mata, peranti boleh menyesuaikan video yang sedang dimainkan dengan persekitaran di dunia nyata …”.

Apple Vision Pro menjadi kenyataan hanya selepas 15 tahun kerana pada tahun 2008, idea Apple tidak boleh direalisasikan kerana kekangan teknologi. Apple kini dilaporkan sedang sibuk membangunkan Apple Vision yang lebih murah dan turut sedang memulakan kajian mengenai kaca mata pintar. Ia dijangka akan tiba pada tahun 2027 dan diharapkan tidak akan mengambil masa belasan tahun.
