Identiti tiga mangsa maut kemalangan di Kota Tinggi dikenal pasti

26 Aug 2026 • 9:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Identiti tiga mangsa maut kemalangan di Kota Tinggi dikenal pasti
Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung kematian tiga individu dalam kemalangan di Kota Tinggi.

KOTA TINGGI - Identiti tiga mangsa maut terlibat kemalangan dua kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pada Selasa telah dikenal pasti.

Mereka ialah pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, dan penumpang, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, manakala pemandu Honda City, Muhamad Amin Mukhtar, 35.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kereta Toyota Vios berkenaan terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Honda City itu.

“Kesemua mangsa parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya pada Rabu.

Yusof berkata, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian jam 5.05 petang.

Mereka yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved