hamden27/08/2026 - 18:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos - IJM Corporation Bhd telah memulakan persiapan bagi penyenaraian berasingan perniagaan pembinaannya di Bursa Malaysia yang disasarkan pada suku ketiga 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai, berkata persediaan ke arah penyenaraian tersebut telah pun dimulakan dan kumpulan kini berusaha untuk mencapai garis masa yang ditetapkan.
“Kami telah memulakan persiapan ke arah penyenaraian tersebut dan sedang berusaha untuk memenuhi tempoh masa yang disasarkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran penyenaraian berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan RHB Investment Bank dan AmInvestment Bank telah dilantik sebagai penasihat bagi cadangan penyenaraian tersebut, yang dijangka meletakkan nilai perniagaan pembinaan IJM sekitar RM5 bilion.
Sekiranya berjaya direalisasikan, penyenaraian itu dijangka menjana hasil sebanyak RM1.2 bilion yang akan diagihkan kepada pemegang saham IJM.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada sasaran kumpulan untuk mengagihkan keseluruhan RM3 bilion kepada pemegang saham dalam tempoh tiga tahun, dengan baki dana dijangka diperoleh menerusi penjanaan semula aset lebuh raya serta rancangan keluar daripada operasi di India.
Dalam perkembangan berkaitan, IJM telah melantik penasihat untuk mengkaji pilihan pelupusan asetnya di India dan mengulangi komitmen untuk keluar sepenuhnya daripada pasaran itu dalam tempoh dua tahun.
Menurut Chun Fai, perbincangan kini sedang dijalankan dengan beberapa pihak yang berminat untuk memperoleh tanah projek perbandaran kediaman IJM di Nagpur.
Pada masa sama, kumpulan telah melupuskan lot pertama projek perbandaran Raintree Park di Vijayawada, manakala proses penjualan lot kedua masih berjalan.
“Proses keluar akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan aset dijual secara berfasa dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, proses penjanaan semula nilai aset lebuh raya IJM turut diteruskan, melibatkan Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Kumpulan kini sedang menilai cadangan awal yang diterima menerusi proses permintaan untuk cadangan (RFP) bagi aset-aset tersebut.
Namun, Chun Fai berkata sebarang transaksi melibatkan perubahan pegangan saham masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan. - DagangNews.com





