Penganalisis: Matrix Concepts berada di landasan capai sasaran RM2 bilion jualan hartanah pada FY27

26 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis: Matrix Concepts berada di landasan capai sasaran RM2 bilion jualan hartanah pada FY27 Image from: Penganalisis: Matrix Concepts berada di landasan capai sasaran RM2 bilion jualan hartanah pada FY27 amree26/08/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 OgosMatrix Concepts Holdings Berhad berada di landasan untuk mencapai sasaran sebanyak RM2 bilion daripada jualan hartanah pada tahun kewangan 2027 (FY27), menurut penganalisis.

 

Kumpulan itu sudah mencatatkan RM416.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), dengan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) City muncul sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang.

 

Antaranya, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.65, yang menawarkan potensi kenaikan kira-kira 39%, selepas prestasi 1QFY27 disifatkan berada dalam jangkaan firma itu.

 

"Margin Matrix Concepts menunjukkan pemulihan apabila kesan gangguan sistem tandatangan elektronik pihak berkuasa yang pernah menjejaskan pengiktirafan hasil telah mula stabil," katanya.

 

Projek di Sendayan, Negeri Sembilan kekal penyumbang utama jualan dengan RM235.3 juta atau 56.5% daripada jumlah jualan suku tersebut, diikuti Fasa 1 MVV Tech Valley yang menyumbang RM96.8 juta.

 

Ujar RHB Research, kira-kira RM550 juta plot tanah industri dan kilang kecil di situ dijual sejak pelancaran, dengan pembangunan dijangka menjadi pemacu utama jualan dan hasil untuk jangka panjang.

 

Matrix Concepts jelasnya, turut merancang pelancaran hartanah yang berjumlah RM2 bilion bagi FY27, termasuk RM1.1 bilion di Sendayan, RM572 juta di Lembah Klang, dan RM175 juta di MVV Tech Valley

 

Pertumbuhan Pendapatan Kembali Naik

Sementara itu, MBSB Research turut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM1.55 selepas keuntungan bersih teras pada 1QFY27 sebanyak RM61.2 juta memenuhi jangkaan firma penyelidikan berkenaan.

 

"Keuntungan suku tahunan melonjak 72.6% berbanding suku sebelumnya, walaupun hasil hanya naik 2.2%, disokong pemulihan margin keuntungan kasar kepada 41% daripada 37% pada suku sebelumnya," katanya.

 

Secara tahunan (YoY), keuntungan teras Matrix Concepts susut 4.4% meskipun hasil meningkat 11%, berikutan margin yang lebih rendah daripada pengiktirafan projek pangsapuri bertingkat di Cheras.

 

MBSB Research menjangkakan pertumbuhan pendapatan kembali naik menerusi pengiktirafan progresif Levia Residence di Cheras dan jualan tanah di MVV City, selain kos pentadbiran yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan kasar kumpulan berkenaan pada FY27 sebagai kekal melebihi 40% disokong oleh faktor pelbagai projek pembangunan dengan nilai margin lebih tinggi.

 

"Kami turut menegaskan jualan yang belum dibil oleh pihak pengurusan Matrix Concepts iaitu kira-kira RM1.48 bilion akan memberi keterlihatan pendapatan kepada syarikat selama setahun," katanya. 

 

Pada masa sama ujar MBSB Research, sumbangan secara berterusan pembangunan Sendayan dan Lembah Klang dijangka memastikan asas pendapatan yang stabil.
 

 - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved