hamden27/08/2026 - 11:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos - Projek kediaman baharu M Araya di Ampang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.92 bilion dijangka menjadi antara pemangkin utama jualan hartanah Mah Sing Group Bhd bagi FY27F dan FY28F, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Mah Sing dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.41, berbanding RM1.40 sebelum ini, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 22% serta hasil dividen sekitar 5%.
Menurut RHB Research, projek M Araya akan mengukuhkan lagi saluran pembangunan Mah Sing di Lembah Klang, di samping menyokong kesinambungan pertumbuhan jualan hartanah kumpulan dalam tempoh dua tahun akan datang.
"M Araya akan dibangunkan di atas tanah seluas 14.3775 ekar di Jalan Bukit Belachan, Ampang, yang dicadangkan untuk diambil alih Mah Sing pada harga RM186.17 juta daripada Chin & Tan Holdings dan Destar Nurani (M).
"Kos tanah sekitar RM297 sekaki persegi itu dianggap munasabah, manakala pengambilalihan dijangka selesai pada 2H27, tertakluk kepada pemenuhan beberapa syarat terdahulu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing labur RM186.17 juta beli 14.38 ekar tanah di Ampang, rancang bangunkan projek RM1.92 bilion
RHB berkata, projek tersebut merupakan pembangunan ketiga Mah Sing di Ampang selepas M Suites dan M City, yang kedua-duanya telah habis dijual masing-masing pada 2013 dan 2016.
Mah Sing terus buru tanah di Lembah Klang
Selain M Araya, RHB Research menjangkakan Mah Sing akan terus memperoleh tanah baharu di Lembah Klang dalam beberapa bulan akan datang bagi mengisi semula rizab pembangunan projek M-series.
Strategi tersebut dilihat penting untuk memastikan kumpulan mempunyai bekalan projek yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan jualan hartanah dalam tempoh sederhana.
Jangkaan itu turut disokong aktiviti pengembangan Mah Sing baru-baru ini selepas kumpulan tersebut memuktamadkan urus niaga tanah bagi pembangunan pusat data.
Dari segi unjuran, penganalisis mengekalkan ramalan pendapatan kerana M Araya hanya akan dilancarkan pada FY27, manakala sumbangannya kepada pendapatan FY28F dijangka masih minimum.
Selepas mengambil kira nilai tambahan M Araya dalam anggaran nilai aset bersih terlaras (RNAV), penganalisis mengekalkan TP baharu RM1.41, berdasarkan diskaun 50% kepada RNAV.
Penilaian itu turut mengambil kira skor ESG Mah Sing sebanyak 3.0, setara dengan median negara, justeru tiada premium atau diskaun ESG dikenakan. - DagangNews.com






