YTL sebelum ini telah memperkenalkan model bahasa raya mereka tersendiri, dinamakan Ilmu. Ketika pengenalan, ia dikatakan model bahasa mereka berjaya menerajui model lain dalam penggunaan bahasa Malaysia, sekaligus skor ujian BM PT3 dan SPM yang tinggi.
Kini, lanjutan daripada pengenalan model bahasa raya mereka tersendiri, kini YTL turut dalam persediaan melancarkan perkhidmatan chatbot mereka tersendiri, alternatif kepada ChatGPT dan Gemini, dinamakan sebagai Ilmu.

Versi awal akan memfokuskan kepada janaan teks sahaja, sebelum ia diperluaskan secara berperingkat meliputi visual dan suara. Ilmu akan ditawarkan dalam bentuk web dan juga aplikasi mudah-alih. Berkongsi mengenainya, YTL mengatakan akan melancarkan ILMUchat secara rasminya pada hari Malaysia, iaitu 16 September 2025 kelak.


Kelak, perkhidmatan berkenaan boleh diakses melalui Ilmu.ai. Melalui demo yang dipertontonkan, ia boleh memberikan respon kepada pelbagai pertanyaan, termasuk melakukan carian web untuk mendapatkan informasi terkini. Percubaan kami sendiri memperlihatkan ia berfungsi lancar, selain antaramuka Ilmu.ai juga lebih kemas berbanding yang di pasaran pada hari ini.

Bagi anda yang berminat, boleh nantikan 16 September 2025 untuk mencuba sendiri penawaran perkhidmatan bot AI daripada Malaysia sepenuhnya, atau turut mendaftar minat melalui laman Ilmu.ai hari ini.

