Imam muda derma tulang, mata dan tisu

LocalHealth & Fitness
24 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Imam muda derma tulang, mata dan tisu

KUALA PILAH – Suasana hiba menyelubungi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, apabila warga hospital melakukan Honor Walk sebagai penghormatan terakhir kepada seorang imam muda Masjid Bandar Baharu Serting pagi semalam.

Penghormatan itu diberikan sebagai tanda menghargai pe­ngorbanan Allahyarham Mohammad Syazwan Mahadi, 28, yang terus menyemai harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ selepas pemergiannya.

Menerusi hantaran yang tular di Facebook setempat, warga hospital dilihat mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham yang juga penghantar barangan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai orang ramai yang rata-ratanya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan berhati mulia kerana masih mampu memberi manfaat kepada orang lain meskipun sudah tiada.

Terdahulu, Allahyarham Mohammad Syazwan maut selepas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah, kira-kira pukul 2.06 petang kelmarin.

Mangsa mengalami kecede­raan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, keluarganya reda meneruskan hasrat arwah untuk mendermakan organnya sebagai pengorbanan terakhir membantu insan lain.

Sepupunya, Rohazlinda Abdul Rahim, 40, berkata, dia dan ahli keluarga terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergian Mohammad Syazwan yang turut bekerja sebagai penghantar barangan secara sambilan sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak mengetahui arwah pernah mendaftar sebagai pen­derma organ sehinggalah perkara itu dimaklumkan oleh doktor selepas kejadian berkenaan.

“Pada mulanya kami sangat terkejut kerana tidak tahu arwah sudah mendaftar sebagai penderma organ. Selepas doktor menjelaskan perkara itu kepada waris, kami sekeluarga bersetuju untuk meneruskan hasratnya.

“Arwah mendermakan tisu-tisu, tulang, mata atau mana-mana organ yang boleh digunakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengimbas peribadi arwah, Rohazlinda berkata, Mohammad Syazwan merupakan seorang yang baik hati, rajin dan banyak ­menghabiskan masa dengan aktiviti keagamaan termasuk ke masjid serta majlis ilmu.

Allahyarham telah selamat dikebumikan di sini semalam.

The post Imam muda derma tulang, mata dan tisu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved