
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan bagi memastikan perkara ini diteliti secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman.
“Justeru, kita akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan SOP dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan. Perkara ini akan diteliti secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Jabatan Imigresen menghormati proses siasatan dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa.
Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk membantu siasatan pihak berkuasa.
“Kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.
“Pada masa yang sama, orang ramai dimohon menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat kejadian ini.
“Seluruh warga Imigresen merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan.
Terdahulu, Imigresen menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis berhubung insiden kemalangan maut tiga sekeluarga dengan sebuah lori jabatan terbabit di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.
Zakaria dilaporkan berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh namun ia masih dalam siasatan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).- UTUSAN
The post Imigresen jalan siasatan dalaman SOP kendali kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.






