Imigresen, MCMC perkasa penguatkuasaan menerusi empat teras

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Imigresen, MCMC perkasa penguatkuasaan menerusi empat teras

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama penguatkuasaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama itu meliputi pembinaan kapasiti sumber manusia, perkongsian maklumat risikan, penyiasatan bersama selain pelaksanaan operasi bersama.

“Yang pertama daripada segi pembinaan kapasiti sumber manusia, kedua daripada segi perkongsian maklumat risik. Imigresen ada elemen risik, MCMC juga, kalau digabungkan tentu ada keupayaan yang lebih besar,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Saifuddin menambah, perkongsian kepakaran dan maklumat risikan kedua-dua agensi akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, termasuk menerusi penyiasatan bersama bagi kes yang dikenal pasti.

“Yang ketiga adalah penyiasatan bersama, apabila satu kes itu ditemui, menggabungkan dua kekuatan ini akan meningkatkan keberkesanan.

“Kalau hasil perisikan dan pemantauan itu dan siasatan yang dilakukan itu memerlukan satu tindakan yang bersifat operasi bersama, itu juga dimasukkan di dalam komponen kandungan MoU ini,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, kerjasama strategik MCMC dan Imigresen amat signifikan kerana kedua-dua agensi berkenaan mempunyai bidang kuasa dan kepakaran yang saling melengkapi dalam aspek kawalan imigresen, pintu masuk negara serta kawal selia komunikasi dan multimedia.

“Melalui kerjasama ini, perkongsian maklumat dan risikan dapat diperkukuh bagi membantu pengesanan individu, rangkaian komunikasi dan modus operandi yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan, di samping menyokong pembangunan kapasiti pegawai kedua-dua agensi.

“Bagi MCMC, perubahan landskap ancaman menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih proaktif dan berasaskan risikan. Modus operandi penjenayah sentiasa berkembang melalui penyalahgunaan rangkaian komunikasi, identiti dan teknologi digital,” katanya. – UTUSAN

The post Imigresen, MCMC perkasa penguatkuasaan menerusi empat teras appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved