'Tiada jam berlalu tanpa operasi' – JIM tahan 228 warga asing setiap hari

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 6:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tiada jam berlalu tanpa operasi' – JIM tahan 228 warga asing setiap hari
Tapak pembinaan antara lokasi sasaran serbuan JIM.
Image from: 'Tiada jam berlalu tanpa operasi' – JIM tahan 228 warga asing setiap hari
Antara warga asing yang ditahan dalam sebuah operasi JIM.

KOTA BHARU – Seramai 228 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan setiap hari oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, lebih 11,000 operasi dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober tahun ini membabitkan pemeriksaan terhadap lebih 146,000 warga asing.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lebih 65,000 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen sepanjang tempoh 287 hari berkenaan.

“Jika dibahagikan dengan 287 hari, ini bermakna Imigresen melaksanakan lebih daripada 37 operasi sehari, dengan 228 warga asing ditahan.

“Tiada jam yang berlalu tanpa operasi pihak Imigresen,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini pada Sabtu.

Lokman Effendi berkata, antara kesalahan yang lazim dikesan ialah tidak mempunyai dokumen sah untuk berada di negara ini, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta menyalahgunakan pas atau permit, termasuk memasuki negara ini sebagai pelawat sosial tetapi bekerja.

“Paling ramai warga Bangladesh, diikuti Myanmar dan Indonesia.

“Mereka bekerja dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan,” katanya.

**media[3681125]**

Dalam perkembangan terbaharu, operasi JIM di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini pada Sabtu menahan 55 warga Myanmar kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke lokap di sini untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Sementara itu, mengulas video tular berhubung pembongkaran lokasi tumpuan warga asing di bandar ini oleh pihak tertentu, Lokman Effendi berkata, pihaknya akan menyiasat sebarang maklumat berkaitan, namun orang ramai diminta menyalurkan maklumat secara rasmi.

“Sebanyak 11 lokasi panas di Kelantan sudah dikenal pasti dan berada dalam pengetahuan Imigresen berdasarkan kehadiran ramai warga asing untuk berkumpul, bekerja atau menjalankan aktiviti.

“Buat aduan rasmi kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan dijalankan, selain mengelakkan kejadian tidak diingini akibat tindakan sendiri,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved