hamden23/11/2026 - 10:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Teknologi kembar digital (digital twin) yang membolehkan aset fizikal dipantau dan disimulasikan secara maya menjadi antara bidang baharu yang diterokai Impact Capital Holdings Berhad (IMPACT, 0483) bagi memperluas perniagaannya dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Menurut Rakuten Trade Research (Rakuten Trade) syarikat berpangkalan di Sarawak itu sedang membangunkan penyelesaian teknologi berkenaan untuk kegunaan sektor utiliti dan pengurusan bencana, selain meneruskan perniagaan terasnya dalam penyepaduan sistem ICT bagi infrastruktur kritikal.
Teknologi kembar digital membolehkan model maya diwujudkan berdasarkan aset fizikal atau persekitaran sebenar untuk tujuan pemantauan masa nyata, simulasi dan penyelenggaraan ramalan.
Pada tahun kewangan berakhir Jun 2026 (FY6/26), IMPACT memperoleh dua pesanan pembelian untuk membangunkan bukti konsep teknologi itu bagi sebuah loji rawatan air dan kawasan geografi bagi meningkatkan kesedaran situasi bencana di Sarawak.
Usaha memperluas penawaran teknologi itu dijangka membuka peluang perniagaan baharu kepada kumpulan, seiring peningkatan permintaan terhadap penyelesaian digital dan pembangunan ekonomi digital negara.
IMPACT dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 24 November 2026.
Nilai saksama mencerminkan potensi kenaikan 27.3%
Dalam nota penyelidikannya, Rakuten Trade memberikan nilai saksama 28 sen sesaham kepada IMPACT, mencerminkan potensi kenaikan 27.3% berbanding harga IPO sebanyak 22 sen.
Penilaian itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 12 kali, disokong buku pesanan RM169.9 juta, kedudukan bersih tunai selepas penyenaraian dan rancangan memperluas penawaran penyelesaian teknologi.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih teras kumpulan masing-masing sebanyak RM10.6 juta dan RM11.3 juta bagi FY6/27 dan FY6/28.
Ketika ini, perniagaan utama IMPACT ialah penyepaduan peralatan dan sistem ICT yang menyumbang 72.7% daripada hasil FY6/26.
Baki hasil disumbangkan oleh pembekalan perkakasan dan perisian ICT sebanyak 14.3%, manakala 13% lagi daripada perkhidmatan lain.
Kumpulan menyediakan penyelesaian ICT kepada agensi kerajaan, penyedia utiliti, institusi kewangan dan syarikat teknologi.
Antara pelanggan utamanya ialah Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Sarawak Energy (Kumpulan SEB). IMPACT juga merupakan Penjual Semula Berlian Sah Huawei di Malaysia serta bekerjasama dengan syarikat teknologi global seperti Dell Technologies, Broadcom dan Cisco.
Prospek pendapatan
Dari segi prospek pendapatan, IMPACT mempunyai buku pesanan belum dilaksanakan bernilai RM169.9 juta merangkumi 60 projek, bersamaan 1.1 kali hasil FY6/26. Daripada jumlah itu, RM133.7 juta dijangka diiktiraf sebagai hasil menjelang Jun 2027.
Projek terbesarnya ialah SMART 600 untuk SDEC bernilai RM314.7 juta, yang telah mencapai kemajuan 78.3%, manakala baki 21.7% dijangka disiapkan menjelang April 2027.
Bagi menyokong pengembangan perniagaan, IMPACT akan menggunakan sebahagian daripada hasil kasar tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM21.3 juta untuk memperkukuh keupayaan teknologi dan operasinya.
Kira-kira 10% daripada hasil IPO akan digunakan untuk menubuhkan Pusat Inovasi dan Penyelesaian Digital di Lembah Klang bagi demonstrasi penyelesaian teknologi dan pengesahan teknikal dalaman, dengan tumpuan kepada perisian asas data dan kecerdasan buatan (AI).
Sebanyak 43.3% lagi diperuntukkan bagi pembinaan pejabat baharu dan menaik taraf pejabat sedia ada di Lembah Klang, Kota Kinabalu, Bintulu dan Johor Bahru, selain pengambilan 60 tenaga profesional berkemahiran.
Setakat FY6/26, IMPACT mempunyai kedudukan bersih tunai sebanyak RM27.4 juta. - DagangNews.com





