Indeks Kehidupan Bermaruah perlu ukur impak bantuan terhadap kehidupan rakyat

LocalOpinion
20 Aug 2026 • 2:02 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Indeks Kehidupan Bermaruah perlu ukur impak bantuan terhadap kehidupan rakyat

SHAH ALAM, 20 OGOS: Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor perlu dilengkapi indikator yang mampu mengukur impak sebenar bantuan Kerajaan Negeri terhadap kehidupan rakyat dalam tempoh 12 hingga 24 bulan.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School (PBS) Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pembangunan indeks berkenaan merupakan langkah baik kerana reka bentuk pelbagai dimensinya mampu menggambarkan keadaan sebenar kehidupan rakyat.

“Tempoh 12 atau 24 bulan sesuai untuk melihat kesan sesuatu dasar. Namun, paling penting indeks ini perlu mempunyai tanda aras sebelum bantuan diberikan dan penerima dipantau secara berkala.

“Tiga perkara utama yang boleh diukur ialah pendapatan boleh guna, kos perumahan dan pengangkutan serta akses kepada makanan, kesihatan dan pendidikan.

“Selain itu, aspek kestabilan isi rumah juga perlu dimasukkan dalam indeks berkenaan kerana ia sering terlepas pandang dalam pengukuran kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Ahmed Razman, kejayaan sebenar sesuatu bantuan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah penerima semata-mata, sebaliknya berdasarkan kemampuan penerima untuk keluar daripada kebergantungan terhadap bantuan berkenaan.

Katanya, beliau melihat Selangor berpotensi menjadi negeri perintis dalam pembangunan indeks tersebut sebelum dijadikan penanda aras kepada negeri lain.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata Selangor yang mempunyai kawasan bandar dan pinggir bandar menjadikannya sesuai untuk membangunkan kerangka pengukuran yang mengambil kira perbezaan kos kehidupan.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan pembangunan Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor yang merangkumi garis ukur pelbagai dimensi selaras dengan cabaran kehidupan di kawasan bandar bagi menangani kos sara hidup.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan indeks itu akan digerakkan melalui kerangka pembangunan unit statistik baharu negeri bagi menilai keberkesanan program bantuan dan sokongan kepada isi rumah.

Beliau berkata penilaian akan dibuat setiap 12 dan 24 bulan bagi menyemak perkembangan kehidupan penerima bantuan negeri sekali gus memastikan keberkesanan bantuan yang disalurkan dapat dinilai secara berkala.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved