
NEW DELHI: India meningkatkan pemantauan di kawasan Himalaya yang bersempadan dengan China dan Nepal susulan banjir maut yang dipercayai berpunca daripada runtuhan glasier, kata pihak berkuasa pada Sabtu.
Bencana di sempadan Tibet-Nepal pada Rabu itu berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran deras serpihan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Bencana berkenaan menyebabkan hampir 3,000 orang masih hilang, manakala 633 disahkan terkorban.
Menteri Pengurusan Bencana negeri Uttarakhand, Madan Kaushik, berkata pihak berkuasa mengarahkan pemantauan terhadap semua glasier dan tasik glasier yang dikenal pasti di rantau berkenaan.
“Kami meminta pasukan supaya berwaspada dan memantau sekiranya keadaan sama berlaku di mana-mana kawasan di negeri ini,” katanya kepada AFP.
Uttarakhand antara kawasan paling sensitif dari segi ekologi di India dan mempunyai 1,266 tasik glasier, menurut data kerajaan.
Walaupun punca sebenar runtuhan glasier itu masih belum jelas, perubahan iklim menyebabkan glasier mencair di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko bencana seumpama itu.
Saintis memberi amaran glasier Himalaya, yang membekalkan sumber air penting kepada hampir dua bilion penduduk, kini mencair pada kadar paling pantas akibat perubahan iklim.
Pencairan glasier dan permafrost turut boleh menjejaskan kestabilan cerun gunung serta meningkatkan risiko tanah runtuh.
Pakar berkata perubahan iklim, ditambah dengan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik, meningkatkan kekerapan, tahap kemusnahan dan kesan bencana berkenaan.- AFP
The post India tingkat pemantauan di Himalaya susulan banjir Nepal appeared first on Utusan Malaysia.






