Indikator kos sara hidup diperinci ikut lokasi

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 1:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Indikator kos sara hidup diperinci ikut lokasi

KUALA LUMPUR: Indikator kos sara hidup akan diperincikan mengikut mengikut kumpulan pendapatan, lokasi dan demografi bagi memastikan dasar dilaksanakan lebih bersasar dan berkesan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, usaha itu penting memandangkan kadar inflasi rasmi tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar kos sara hidup yang dialami setiap isi rumah.

Katanya, berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun 2026, kadar inflasi negara kekal terkawal dengan mencatatkan peningkatan sederhana kepada 1.9 peratus berbanding 2.0 peratus pada Mei lalu.

“Kadar inflasi keseluruhan yang terkawal tidak semestinya menggambarkan pengalaman kos sara hidup yang dirasai oleh semua isi rumah kerana IHP mengukur purata perubahan harga bagi bakul barangan dan perkhidmatan yang mewakili keseluruhan isi rumah di Malaysia.

“Pengalaman sebenar setiap isi rumah dipengaruhi oleh corak perbelanjaan, lokasi tempat tinggal serta tahap pendapatan individu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Azahar Hassan berhubung penilaian terhadap jurang antara data inflasi rasmi dan pengalaman sebenar pengguna serta sama ada kerajaan bercadang membangunkan indeks kos sara hidup yang lebih mencerminkan keadaan isi rumah mengikut kumpulan pendapatan dan wilayah.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, kesan inflasi terhadap pengguna dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk komposisi perbelanjaan isi rumah, khususnya bagi makanan, perumahan dan pengangkutan.

Katanya, selain tahap pendapatan, lokasi tempat tinggal termasuk perbezaan kos antara bandar dan luar bandar serta antara negeri turut mempengaruhi pengalaman kos sara hidup, di samping corak perbelanjaan individu seperti pilihan jenama, kekerapan dan lokasi pembelian.

“Sebagai contoh, sekiranya harga makanan meningkat lebih pantas berbanding kumpulan barangan lain, isi rumah yang memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan kepada makanan akan merasai tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi keseluruhan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah membangunkan Indikator Kos Sara Hidup pada 2024 yang mengukur kos sara hidup secara lebih terperinci berasaskan data Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) serta IHP bagi memastikan analisis yang dihasilkan lebih mencerminkan corak perbelanjaan sebenar isi rumah.

“Sehingga kini, indikator kos sara hidup seperti Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (Indeks PAKW), Indeks Kos Sara Hidup dan Purata PAKW telah tersedia sehingga peringkat daerah pentadbiran.

“Kerajaan turut menggunakan pelbagai indikator lain seperti survei pendapatan isi rumah, statistik gaji dan upah serta Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN

The post Indikator kos sara hidup diperinci ikut lokasi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved