
BENTONG – Polis telah berjaya mengesan individu yang tular memandu sebuah kereta melawan arus di Jalan Bentong-Karak di sini.
Dalam rakaman berdurasi kira-kira 55 saat yang tular menyaksikan sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipercayai bergerak dari arah Simpang Majlis Perbandaran Bentong (MPB) sebelum memasuki laluan bertentangan melalui jambatan Kampung Baru, Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar betkata, susulan rakaman tersebut, pihak polis telah mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kenderaan dan individu yang terlibat serta menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Hasil tindakan yang dijalankan, pegawai polis telah pergi ke kediaman individu berkenaan pada pukul 4 petang semalam bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan berhubung kejadian yang tular tersebut.
“Individu berkenaan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bentong bersama kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes di siasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, rakaman percakapan pemandu telah diambil manakala kenderaan berkenaan ditahan bagi tujuan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Individu pandu kereta lawan arus berjaya dikesan appeared first on Kosmo Digital.






