
JAKARTA: Indonesia merampas 2.6 tan metamfetamin cecair yang disembunyikan dalam sebuah kapal berbendera Tanzania, dalam satu serbuan dadah terbesar negara itu, dengan 10 anak kapal ditahan.
Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah kapal yang belayar dari Sarawak melalui Laut Andaman, dipercayai membawa dadah ke Indonesia.
Dalam operasi bersama Jabatan Kastam, pihak berkuasa memintas kapal MV Rain Maker yang menggunakan nama palsu, lewat Isnin berhampiran Bengkalis di wilayah Riau.
“Pemeriksaan mendapati 2.6 tan metamfetamin atau meth cecair disimpan dalam lapan tong air dan sebuah tangki air,” kata pegawai BNN, Roy Hardi Siahaan.
Anjing pengesan turut menemukan lebih 1.5 juta batang rokok seludup di dalam kapal berkenaan. Kesemua 10 anak kapal yang ditahan merupakan warga Myanmar.
Tahun lalu, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan rampasan dadah terbesar negara itu selepas merampas dua tan kristal methamphetamine yang disembunyikan dalam sebuah bot nelayan dari Laut Andaman menuju Pulau Batam.
Rampasan terbaharu itu merupakan kes kedua membabitkan kapal berbendera Tanzania yang dipintas di kawasan berkenaan bulan ini.
8 Ogos lalu, pihak berkuasa Indonesia merampas 1.3 tan ketamin daripada sebuah kapal di perairan sekitar Kepulauan Riau berhampiran Singapura.
Lapan anak kapal, tujuh warga Myanmar dan seorang warga Taiwan, ditahan dalam operasi itu.
Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah, namun negara itu mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu.- AFP
The post Indonesia tumpaskan cubaan seludup 2.6 tan metamfetamin appeared first on Utusan Malaysia.





