
MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan mampu menjadi sebuah organisasi yang kukuh sekiranya masih wujud budaya ‘parti dalam parti’ atau ‘dua nakhoda mengemudi satu kapal’.
Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, kewujudan kelompok atau struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang sah hanya akan melemahkan parti dan menghakis tumpuan terhadap agenda perjuangan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.
“Dua nakhoda mengemudi satu kapal ataupun adanya tangan ghaib, struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang zahir, kita tidak mampu kuat sebagai sebuah organisasi.
“Saya mahu melihat masa depan PKR yang bebas daripada pengaruh kelompok tertentu demi memastikan parti terus menjadi sebuah organisasi yang kukuh dan berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Nurul Izzah berkata, tenaga parti tidak seharusnya dihabiskan untuk pertelingkahan dalaman kerana setiap masa yang digunakan untuk berkonflik sesama sendiri adalah masa yang sepatutnya dimanfaatkan bagi memenangi hati rakyat.
Katanya, setiap jam yang digunakan untuk berlawan, bertelagah sesama sendiri adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat.
“Jadi saya fikir fokus kita insya-Allah, memulakan tekad kepada agenda merakyatkan ekonomi, bersaing dalam melakukan kebaikan menerusi kemenangan dalam pilihan raya sebenar iaitu pilihan raya umum ataupun pilihan raya peringkat negeri,” katanya.
Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa kemenangan politik bukan sekadar memberikan kuasa, sebaliknya hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang jauh lebih besar.
Katanya, cabaran sebenar sesebuah parti ialah memastikan kuasa diperoleh, digunakan untuk membawa perubahan dan bukan mempertahankan kepentingan kelompok tertentu.
“Kepimpinan bukan soal memiliki kuasa. Kepimpinan adalah soal memelihara amanah. Perbezaannya kelihatan kecil, tetapi daripada perbezaan kecil inilah lahirnya aliran politik yang sangat berbeza. Yang satu mempertahankan kerusi, yang satu lagi mempertahankan nilai,” katanya.
Beliau turut menggesa anggota Wanita dan AMK supaya membina semula budaya saling mengenali, membina kepercayaan dan mengutamakan penyatuan dalam parti.
Katanya, perpecahan dalam kalangan sayap parti sendiri adalah sesuatu yang tidak mampu ditanggung sekiranya PKR mahu terus memenangi hati rakyat.
“Saya mungkin naif, mungkin simplistic, mungkin terlalu berharap. Namun kita perlu sama-sama menghayati semangat husnuzon, berbekal misi penyatuan ummah sebenar.
“Bukan atas dasar politik. Atas dasar keadilan yang perlu kita bawa masuk dalam parti ini sebelum insya-Allah, kita membawanya kepada rakyat,” katanya.
Nurul Izzah berkata, rakyat kini semakin menilai parti politik berdasarkan rekod dan hasil yang telah dilaksanakan, bukannya sekadar slogan atau janji.
Sehubungan itu, katanya, PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu terus membuktikan kepercayaan yang diberikan rakyat melalui prestasi pentadbiran serta dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Rakyat sudah cukup melihat, mereka tidak lagi menilai sesiapa dengan slogan, mereka menilai dengan rekod,” katanya.
Masa depan PKR bergantung kepada kemampuan parti itu mengekalkan kepelbagaian pemikiran, kaum dan pendekatan, selain memastikan prinsip reformasi tidak berubah apabila parti memperoleh kuasa. – UTUSAN
The post Jangan wujud parti dalam parti, dua nakhoda satu kapal – Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.






