johardy22/08/2026 - 15:12 Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad - Gambar KPK Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Ogos - Industri perkayuan Malaysia perlu beralih daripada pengeluaran berasaskan volum kepada produk bernilai lebih tinggi, keupayaan reka bentuk lebih kukuh dan pembangunan jenama tempatan ketika persaingan semakin sengit di pasaran global, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, peralihan itu semakin penting memandangkan produk perkayuan Malaysia sudah menembusi pasaran utama termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Eropah, Timur Tengah, Australia serta negara-negara Asia.
“Masa depan industri ini tidak boleh bergantung semata-mata kepada jumlah pengeluaran. Kita perlu beralih kepada penghasilan produk bernilai lebih tinggi, mempertingkat reka bentuk, mengguna pakai teknologi serta membina jenama Malaysia yang mempunyai identiti tersendiri dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya ketika melancarkan Program Merdekapenter pada Sabtu.
Noraini berkata, nilai kayu tidak lagi seharusnya dilihat semata-mata berdasarkan bahan mentah, sebaliknya kemahiran pertukangan, idea, reka bentuk produk dan cerita di sebalik produk siap semakin menentukan nilai komersialnya.
Menurut beliau, kerajaan menerusi agensi termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan membantu industri meningkatkan produktiviti, membangunkan modal insan, memperluas pasaran serta memperkukuh amalan kelestarian.
Beliau berkata, aspek kelestarian dan kebolehkesanan juga semakin penting apabila pembeli antarabangsa meningkatkan permintaan terhadap produk daripada sumber yang bertanggungjawab serta memenuhi keperluan kelestarian.
Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), yang menyediakan penilaian bebas terhadap pengurusan hutan dan rantaian bekalan produk kayu, telah mendapat pengiktirafan Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) sejak 2009. Ia merupakan skim pensijilan kayu tropika pertama di rantau Asia Pasifik menerima pengiktirafan tersebut, katanya.

Pensijilan semakin penting
Hampir 5.9 juta hektar kawasan hutan negara, bersamaan lebih 32% daripada keseluruhan kawasan hutan Malaysia, telah dipersijilkan di bawah MTCS, manakala 365 syarikat di seluruh negara memiliki pensijilan Rantaian Jagaan (Chain of Custody) MTCS/PEFC.
Noraini berkata, pensijilan, kecekapan penggunaan sumber dan inovasi semakin menentukan keupayaan syarikat perkayuan meraih keyakinan pelanggan serta menembusi pasaran yang mempunyai keperluan lebih mencabar.
“Kelestarian bukan slogan; ia perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, daripada cara bahan diperoleh, produk direka bentuk dan sisa diuruskan, hinggalah kepada pilihan yang dibuat oleh pengguna,” katanya.
Usaha beralih kepada pembuatan bernilai lebih tinggi dan pembinaan jenama Malaysia yang lebih kukuh mencerminkan langkah untuk membawa industri perkayuan negara lebih jauh dalam rantaian nilai global, berbanding bersaing terutamanya berasaskan jumlah pengeluaran dan bekalan bahan mentah. - DagangNews.com





