
KUCHING, 21 OGOS: Industri kreatif digital Malaysia menjana hasil RM92.5 bilion dengan nilai eksport RM12.1 bilion, selain menarik pelaburan RM85.7 bilion serta mewujudkan lebih 11,000 pekerjaan bernilai tinggi.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pertumbuhan industri itu menunjukkan potensi ekonomi yang semakin meningkat dalam bidang animasi, permainan dan kandungan digital, melangkaui nilai kreatifnya.
“Kita menyaksikan harta intelek (IP) tempatan seperti Upin & Ipin, Ejen Ali dan Mechamato yang menjadi kegemaran ramai kini berkembang ke luar negara.
“IP Malaysia yang kukuh mampu mewujudkan peluang komersial baharu, menyokong pertumbuhan perniagaan dan mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi. Justeru, kita perlu melihatnya bukan sahaja dari perspektif kreatif tetapi potensi ekonominya,” katanya dalam ucapan pada Festival Animasi dan Permainan Video Borneo (BAGFest) 2026 di sini hari ini.
Gobind berkata ekonomi digital Malaysia disasarkan menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, di samping mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi dalam tempoh empat tahun akan datang.
Beliau berkata Sarawak memainkan peranan penting dalam fasa seterusnya bagi pertumbuhan digital Malaysia bersandarkan komuniti kreatif, keunikan kisah dan budaya, selain ekosistem digital yang semakin berkembang.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Sarawak bagi memperkukuh keupayaan digital negeri itu serta menghubungkan industri kreatifnya dengan peluang di seluruh Malaysia, Asia Tenggara dan peringkat antarabangsa.
“Melalui kerjasama ini, kami juga mahu menyokong aspirasi Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi industri animasi dan permainan. Festival ini contoh terbaik apa yang mampu kita capai apabila bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” katanya.
BAGFest 2026 yang bertemakan Forging Sarawak’s Digital Future as the Regional Hub for Animation and Games ialah festival animasi dan permainan antarabangsa pertama seumpamanya yang dianjurkan di Borneo.
-- BERNAMA
TAG: digital, kreatif, industri, IP, Gobind Singh Deo





