amree17/08/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – Coastal Contracts Berhad berdepan keperluan mengekalkan momentum tempahan kapal bagi memastikan pertumbuhan pendapatan secara berterusan, menurut TA Securities.
Justeru firma penyelidikan itu melihat jualan kapal sokongan luar pesisir (OSV) bernilai RM175.8 juta yang baru diperoleh dijangka mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan kumpulan tersebut bagi FY26.
Tambahnya, kumpulan berkenaan menerima tempahan berkenaan pada 14 Ogos 2026 bagi penjualan sebuah OSV, dengan penghantaran yang dijadualkan dapat dilaksanakan pada tempoh suku keempat FY26.
"Kos pembinaan diiktiraf secara berperingkat apabila penghantaran dibuat, manakala hasil dan margin Coastal Contracts diakui apabila risiko pemilikan dipindah kepada pembelinya," kata TA Securities.
Firma itu melihat perkembangan tersebut secara keseluruhannya sejajar dengan jangkaan kerana kapal berkenaan merupakan sebahagian daripada program pembinaan yang sedang dilaksanakan kumpulan itu.
Bagaimanapun, tempahan baharu itu penting kerana ia meningkatkan keterlihatan pendapatan bahagian Pembinaan Kapal, dengan kira-kira tiga kapal dijangka dihantar kepada pelanggan sepanjang FY26.

Berdasarkan data sejarah, TA Securities menganggarkan margin keuntungan bersih teras sekitar 20%, berpotensi menyumbang RM35.2 juta kepada keuntungan bersih FY26 ke atas Coastal Contracts sendiri.
"Bagi FY27, kami kekal positif terhadap pertumbuhan hasil, dijana penghantaran dua OSV dengan spesifikasi tinggi pada 2027 dan dijangka terus menyumbang kepada prestasi bahagian itu," katanya.
Tempahan kapal terbaharu itu juga menjadikan jumlah kemenangan kontrak baharu kumpulan tersebut bersamaan 121% daripada andaian asal firma penyelidikan berkenaan sebanyak RM300 juta bagi FY26.
Susulan prestasi tempahan yang kukuh, TA Securities menaikkan anggaran kemenangan kontrak bahagian pembinaan kapal bagi FY26 hingga FY28 kepada masing-masing RM400 juta, RM350 juta dan RM170 juta.
Semakan itu mendorong firma berkenaan menaikkan unjuran pendapatan Coastal Contracts bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 8.6%, 1.7% dan 1.4%, mencerminkan prospek hasil lebih daripada jangkaan.
"Kami menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.15 sesaham daripada RM2.12 sebelum ini berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), selain mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham itu," katanya. - DagangNews.com






