Inflasi Malaysia Susut Kepada 1.8% Pada Julai, Harga Ayam Dan Sayur Antara Pendorong

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 2:18 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Inflasi Malaysia Susut Kepada 1.8% Pada Julai, Harga Ayam Dan Sayur Antara Pendorong

Kadar inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.8 peratus pada Julai 2026, berbanding 1.9 peratus pada Jun 2026, meskipun beberapa barangan makanan termasuk ayam dan sayur-sayuran merekodkan peningkatan harga.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.1 mata pada Julai 2026 berbanding 134.7 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, kumpulan pengangkutan menjadi antara penyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah apabila mencatat peningkatan 1.4 peratus berbanding 2.8 peratus pada Jun 2026.

Kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menyederhana kepada 2.9 peratus daripada 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan turut direkodkan bagi minuman beralkohol dan tembakau kepada 2.7 peratus (Jun: 2.8%), restoran dan perkhidmatan penginapan kepada 2.0 peratus (2.6%) serta pendidikan kepada 2.0 peratus (2.1%).

Dalam pada itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.8 peratus pada Julai berbanding 1.4 peratus pada Jun.

DOSM berkata, peningkatan itu didorong oleh kedua-dua subkumpulan makanan di luar rumah dan makanan di rumah.

“Subkumpulan makanan di luar rumah meningkat kepada 2.5 peratus berbanding 2.4 peratus pada Jun 2026, manakala subkumpulan makanan di rumah mencatatkan peningkatan 1.2 peratus pada Julai 2026 berbanding 0.5 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Baca juga:

Harga ayam meningkat

Antara yang paling ketara ialah kelas perbelanjaan daging yang meningkat kepada 3.2 peratus pada Julai berbanding 1.5 peratus pada Jun.

Daging ayam segar, yang merupakan komponen terbesar dalam kelas perbelanjaan daging dengan wajaran 32.6 peratus, mencatat peningkatan 6.7 peratus berbanding hanya 1.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Purata harga ayam standard Malaysia pula meningkat kepada RM10.88 sekilogram pada Julai 2026 berbanding RM10.25 sekilogram pada Julai 2025 dan RM10.77 pada Jun 2026.

Di Semenanjung Malaysia, purata harga ayam standard meningkat kepada RM10.17 sekilogram, berbanding RM9.43 pada Julai 2025 dan RM10.03 pada Jun 2026.

Kenaikan turut disumbangkan oleh bahagian ayam dan daging kambing tempatan yang masing-masing meningkat 2.6 peratus dan 1.3 peratus.

Tomato naik hampir 20 peratus

Kelas perbelanjaan sayur-sayuran pula kembali mencatat inflasi 1.0 peratus pada Julai berbanding negatif 1.8 peratus pada Jun.

Antara sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan harga tahun ke tahun paling ketara ialah tomato sebanyak 19.6 peratus, diikuti kailan 10.4 peratus, salad 9.5 peratus, petola 8.8 peratus dan kubis panjang 8.3 peratus.

Bagi makanan di luar rumah, inflasi meningkat kepada 2.5 peratus dengan beberapa makanan popular turut mencatat kenaikan.

Antaranya kuih-muih sebanyak 3.7 peratus, masakan berasaskan mi 3.5 peratus, sate 3.3 peratus, roti canai 2.8 peratus dan nasi ayam 2.7 peratus.

Kos rumah turut meningkat

Sementara itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1.8 peratus pada Julai berbanding 1.4 peratus pada Jun.

DOSM berkata, peningkatan itu didorong oleh subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan kediaman serta elektrik, gas dan bahan api yang masing-masing meningkat kepada 7.3 peratus dan 2.0 peratus.

Subkumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan rumah kediaman pula menyederhana kepada 2.5 peratus, manakala inflasi sewa sebenar untuk kediaman kekal pada 1.4 peratus.

Tujuh negeri catat inflasi melebihi nasional

Dari segi negeri, tujuh negeri merekodkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.8 peratus.

Negeri Sembilan mencatat kadar tertinggi iaitu 2.5 peratus, diikuti Kedah dan Pahang masing-masing 2.3 peratus, Kuala Lumpur 2.2 peratus, Johor 2.1 peratus, Labuan 2.0 peratus serta Sabah 1.9 peratus.

Dalam pada itu, kesemua negeri merekodkan peningkatan inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman kecuali Kelantan dan Labuan yang tidak mencatatkan sebarang peningkatan.

Secara keseluruhan, sebanyak 374 daripada 573 item atau 65.3 peratus merekodkan kenaikan harga pada Julai 2026.

Daripada jumlah itu, 367 item atau 98.1 peratus mencatat kenaikan tidak melebihi 10 peratus, manakala hanya tujuh item merekodkan peningkatan melebihi 10 peratus.

Sebanyak 157 item atau 27.4 peratus pula menunjukkan penurunan harga, manakala 42 item kekal tidak berubah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved