
KUALA LUMPUR – Sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC disita polis apabila nombor pendaftarannya dikesan didaftarkan kepada sebuah kereta BMW dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi ini.
Operasi bermula pukul 2 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Perkara itu dikesan susulan penahanan dua remaja terdiri daripada seorang lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal berkenaan bersama seorang perempuan berusia 17 tahun.
Ketika disoal siasat, remaja perempuan itu mengakui bahawa motosikal tersebut adalah milik bapanya dan mendakwa ia baru dibeli kira-kira empat bulan di Tanjung Malim, Perak.
“Ini motosikal bapa, baru lagi beli dan ambil di kedai. Saya tidak tahu nombor itu palsu kerana pihak kedai yang beri nombor pendaftaran tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini.
Mengulas mengenai keberadaannya di ibu negara, remaja berasal dari Rawang itu berkata, dia datang ke Kuala Lumpur bertujuan bagi menyambut hari lahir ibu teman lelakinya.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, Yamaha 135LC itu antara empat motosikal yang disita di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ini motosikal bapa, baru lagi beli tidak tahu palsu’ appeared first on Kosmo Digital.




![[VIDEO] Hampir 1,500 motosikal masuk ‘pukat’ di KLCC](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)

