
KAJANG – Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer (KM) 301.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban arah Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 8 pagi.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal yang berada di lorong kiri dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong tengah.
“Dalam masa sama, sebuah kereta yang bergerak di lorong tengah tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal warga tempatan berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Orang awam yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau video kejadian, khususnya kenderaan yang melalui lokasi berkenaan sekitar waktu kejadian, turut diminta menyalurkan rakaman kepada Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuh Raya KL-Seremban appeared first on Kosmo Digital.






