[VIDEO] Hampir 1,500 motosikal masuk ‘pukat’ di KLCC

9 Aug 2026 • 1:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR – Ribuan penunggang motosikal yang menjadikan Jalan Tun Razak, di sini sebagai lokasi berkumpul dan melakukan pelbagai aksi berbahaya berakhir apabila ‘dipukat’ pihak berkuasa dalam operasi bersepadu, awal pagi tadi.

Operasi bermula pukul 2 hingga 5 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati terdapat penunggang motosikal cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun gagal apabila semua laluan keluar telah ditutup.

Ketua JSPTKL, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, sebanyak 1,450 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan membabitkan penunggang berusia antara 15 hingga 20 tahun.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 147 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan dengan 827 saman turut dikeluarkan, iaitu 671 saman oleh Polis Diraja Malaysia dan 156 saman oleh JPJ,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai dijalankan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesalahan tertinggi yang dikesan ialah tidak mempunyai lesen memandu, selain mengubah suai motosikal termasuk menggunakan nombor plat ‘fancy’.

“Kita dapati ramai antara penunggang motosikal ini dalam usia 15 tahun hingga 20 tahun. Dan kebanyakan daripada mereka ini tidak mempunyai lesen.

“Alasan yang diberikan ialah belum boleh mendapatkan lesen kerana belum cukup unur dan hanya ingin keluar waktu malam untuk bersiar,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana golongan berkenaan masih berada di bawah penjagaan keluarga dan sepatutnya dipantau ibu bapa.

“Saya harap keluarga mengambil berat tentang anak-anak, ke mana mereka keluar, waktu bila mereka keluar, dengan siapa mereka keluar dan motosikal apa yang digunakan,” katanya.

Dalam operasi sama, katanya, dua individu turut ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Nombor pendaftaran mesti lengkap. Kalau diubah sahaja nombor pendaftaran, secara automatik sudah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 108 APJ 1987,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan berulang.

Katanya, rekod kesalahan lampau akan dimasukkan dalam kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, termasuk memaklumkan sekiranya suspek terbabit merupakan pesalah berulang.

“Kalau kita tahan orang yang kesalahan dia berulang, kita akan masukkan perkara itu dalam kertas siasatan dan mungkin kita akan minta hukuman yang lebih keras atau lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan terhadap pesalah bawah umur adalah berbeza dan mahkamah lazimnya boleh menjatuhkan hukuman seperti khidmat masyarakat atau denda, bergantung kepada kesalahan.

“Saya ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas, selain mengelakkan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, menunggang secara berbahaya serta terbabit dalam aktiviti lumba haram.

“Ibu bapa turut disaran memantau aktiviti dan penggunaan motosikal oleh anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka serta pengguna jalan raya lain,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved