
KUALA LUMPUR: Sebanyak 827 saman dikeluarkan manakala 147 motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.
Operasi bersepadu itu membabitkan 103 pegawai dan anggota trafik Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM serta lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, dalam operasi bermula kira-kira pukul 2 pagi itu, sebanyak 1,450 motosikal diperiksa.
Menurutnya, kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak memiliki lesen memandu, mengubah suai nombor plat selain pelbagai kesalahan trafik lain.
“Dalam operasi ini, kita menjalankan pemeriksaan terhadap 1,450 motosikal dan 827 saman.
“Kebanyakan penunggang motosikal yang diperiksa ini berusia antara 15 hingga 20 tahun.
“Kita mengingatkan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak yang membiarkan keluar lewat malam. Malah ada yang ditahan didapati menunggang motosikal tanpa brek dan ini sangat membahayakan nyawa,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan pusat beli-belah KLCC pagi tadi.
Menurutnya, pihak polis turut menahan dua remaja bagi membantu siasatan selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mereka disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran motosikal berkenaan sebenarnya didaftarkan kepada sebuah kereta jenis BMW.
“Remaja perempuan berusia 17 tahun itu mendakwa motosikal berkenaan milik bapanya dan dibeli kira-kira empat bulan lalu di Tanjung Malim, Perak, sebelum ditunggang rakan lelakinya berusia 18 tahun.
“Kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya,
Tegasnya, operasi samseng jalanan akan diteruskan setiap malam terutama menjelang sambutan hari kebangsaan.- UTUSAN
The post Op Samseng Jalanan: 827 saman, 147 motosikal disita appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Hampir 1,500 motosikal masuk ‘pukat’ di KLCC](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)



