
KUALA LUMPUR – “Ini tamparan yang sangat hebat bagi saya, titik terendah dalam hidup saya.”
Demikian luahan pilu Saifulnizam Sulaiman, 39, yang kehilangan isteri, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Naufal, 12, dalam kemalangan maut di Jalan Temerloh-Triang, berhampiran Kampung Lebak, baru-baru ini.
Saifulnizam berkata, dia masih belum mempunyai kekuatan untuk membuka media sosial atau menonton video kemalangan yang tersebar, namun mengetahui ramai rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan isteri dan anaknya.
View this post on Instagram
“Saya tak buka langsung media sosial, disampaikan oleh kawan-kawan. Saya belum ada kekuatan untuk buka video yang tersebar itu.
“Allah uji, Allah ambil semula apa yang Dia pinjamkan kepada saya. Balik rumah, dalam keadaan kosong, rasa macam ini bukan tempat saya dah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di Instagram malam tadi.
Menceritakan detik selepas tragedi berkenaan, Saifulnizam berkata, dia tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 1 pagi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Temerloh sekitar jam 1.30 pagi.
Menurutnya, dia kemudian dibenarkan melihat sendiri jasad isteri dan anaknya sebelum menjalani proses pengecaman serta urusan berkaitan pengesahan identiti.
“Alhamdulillah, saya dibenarkan melihat sendiri jasad isteri dan anak saya. Kemudian saya tidak boleh tidur sampai pagi.
“Pagi tadi saya kembali ke forensik Hospital Temerloh untuk pengecaman semula jasad serta barang-barang yang ditemui semasa kejadian. Dari tengah hari hingga petang pula saya perlu menjalani ujian darah untuk proses asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya.
Saifulnizam berkata, ketika itu dia masih belum dapat memastikan tarikh pengebumian kedua-dua insan tersayangnya kerana keputusan ujian DNA masih diperlukan bagi proses pengesahan.
“Esok (hari ini) keputusan akan keluar tetapi esok masih tidak pasti boleh dikebumikan atau tidak. Secara peribadi saya mahu menguruskan isteri dan anak saya untuk dikebumikan segera, tetapi saya kena faham keadaan semasa.
“Sekiranya esok tidak dapat dikebumikan, kemungkinan proses pengebumian akan berlaku pada Isnin,” katanya.
Dalam pada itu, Saifulnizam turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan isteri dan anaknya sejak tragedi tersebut berlaku.
Beliau turut menjemput orang ramai yang ingin hadir ke proses pengebumian kelak untuk bersama-sama mendoakan kedua-dua arwah.
“Memandangkan ramai rakyat Malaysia mendoakan isteri dan anak saya, saya secara peribadi menjemput orang ramai untuk datang sewaktu proses pengebumian dan sama-sama kita mendoakan arwah isteri dan anak saya,” katanya.
Tragedi berkenaan berlaku apabila kereta yang dinaiki Nur Fatima Syuhada dan Muhamad Fattah Aisy Naufal dihempap sebuah lori tangki yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian terbakar.
The post “Ini tamparan sangat hebat”, suami luah pilu kehilangan isteri dan anak sekelip mata appeared first on MYBERITA.






