hamden12/08/2026 - 15:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - Inokom Corp Sdn Bhd melabur RM300 juta untuk membangunkan kemudahan pengecatan automotif baharu di kilangnya di Kulim, Kedah, sekali gus meningkatkan kapasiti keseluruhan pusat pengecatannya kepada 100,000 buah kenderaan setahun.
Kemudahan Paint Shop 3 itu merupakan antara pelaburan pembuatan terbesar Sime Darby Bhd setakat ini dan dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Inokom berkata, kemudahan baharu itu mampu menyokong kerja mengecat sehingga 50,000 buah kenderaan setahun berdasarkan operasi dua syif, pada kadar pengeluaran 15 unit sejam.
"Pelaburan ini mencerminkan fokus berterusan kami untuk memperkukuh keupayaan tempatan serta menyokong pertumbuhan industri automotif Malaysia," kata Pengarah Inokom, Tan Sri Ben Yeoh dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu, Paint Shop 3 turut dilengkapi keupayaan mengecat komponen plastik dan boleh menampung pelbagai model kenderaan.
Keupayaan berkenaan memberikan Inokom fleksibiliti lebih besar untuk meningkatkan skala pengeluaran selain menyokong program kenderaan baharu pada masa hadapan.
Kemudahan itu juga dijangka memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan Inokom ketika industri automotif Malaysia terus berkembang, termasuk menerusi peningkatan pelaburan dan pengenalan model kenderaan baharu. - DagangNews.com






