
SERDANG: Inovasi input pertanian menerusi pembangunan rangkaian baja premium kini dibangunkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi memperkukuh keperluan sektor pertanian semasa.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi pelancaran rangkaian baja Premium Care pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, hari ini.
Premium Care yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan menggunakan campuran bahan mentah berkualiti menerusi teknologi ‘Nutrient Protection Enhancer’ (NPE).
Nafas dalam satu kenyataan berkata, teknologi berkenaan direka bagi membantu mengurangkan kehilangan nutrien ke persekitaran, selain memastikan nutrien tersedia lebih lama untuk diserap tanaman.
“Premium Care terdiri daripada formulasi Premium Care 5 dan Premium Care 34+ yang dibangunkan mengikut keperluan tanaman pada pelbagai peringkat pertumbuhan, termasuk pembungaan, pembesaran dan pengisian buah serta peningkatan produktiviti.
“Rangkaian baja berkenaan menyasarkan pelbagai tanaman utama termasuk kelapa sawit, durian, buah-buahan, sayuran, padi, tanaman ladang, kopi, koko dan tanaman hortikultur,” katanya hari ini.
Menurut Nafas lagi, langkah tersebut mencerminkan perubahan keperluan sektor pertanian yang kini memerlukan input bukan sahaja berupaya membekalkan nutrien, malah turut memberi nilai tambah dari segi kecekapan pembajaan, prestasi tanaman, kualiti hasil dan kelestarian tanah.
Dalam perkembangan sama, NBKSB turut memperkukuh kerjasama penyelidikan dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM600,039 bagi tempoh dua tahun.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan Controlled Release Fertilizer (CRF) Baja Super Durian Peladang serta penilaian keberkesanannya terhadap pertumbuhan tanaman dan kualiti hasil.
“Nafas melalui NBKSB berusaha memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai input pertanian dengan menggabungkan pembangunan produk, teknologi dan penyelidikan bagi menyokong peningkatan produktiviti peladang,” katanya. – UTUSAN
The post Inovasi baja premium perkukuh sektor pertanian semasa appeared first on Utusan Malaysia.






