
SERDANG: Kemudahan buggy percuma disediakan untuk kegunaan pengunjung awam di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, manakala perkhidmatan berbayar hanya ditawarkan kepada golongan korporat tertentu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemudahan buggy percuma disediakan kepada pengunjung biasa sepanjang berlangsungnya MAHA 2026.
Katanya, perkhidmatan buggy yang dikenakan bayaran adalah disediakan syarikat swasta untuk kegunaan pelanggan korporat yang mahukan kemudahan perjalanan lebih selesa.
“Kemudahan berbayar itu lazimnya digunakan golongan korporat termasuk pemimpin syarikat yang tidak mahu berjalan kaki ketika mengunjungi kawasan pameran.
“Buggy free. Yang sewa itu korporat, yang mereka tak mahu kongsi dengan orang, syarikat-syarikat besar,” katanya pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Pangkalan Data Nelayan (Padan) dan Majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran ikan Sabah ke Semenanjung pada MAHA 2026, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Tambah Mohamad, pengunjung awam bagaimanapun disediakan beberapa pilihan pengangkutan percuma termasuk trem, buggy dan bas untuk bergerak sekitar MAEPS.
Katanya, kelewatan pengangkutan mungkin berlaku berikutan jumlah pengunjung yang tinggi, namun pihaknya mengambil serius setiap rungutan yang diterima daripada pengunjung.
“Jumlah pengunjung yang besar menyebabkan pengurusan pengangkutan dalaman menjadi cabaran, terutama ketika ratusan ribu pengunjung hadir dalam tempoh singkat.
“Saya memohon maaf atas sebarang kelewatan yang berlaku, kita akan pergiat usaha penambahbaikan akan terus dilakukan sepanjang penganjuran MAHA,” katanya.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati caj sewaan buggy dipertikaikan pengunjung yang menganggap kadar RM50 bagi 15 minit sebagai tidak masuk akal dan membebankan meskipun perkhidmatan itu hanya berfokus untuk golongan korporat.
Seorang pengunjung, Siti Nur Farizah, 43, berkata caj RM50 bagi 15 minit terlalu mahal dan tidak berbaloi untuk kebanyakan pengunjung.
Katanya, kebanyakan pengunjung MAHA bukan daripada golongan berada, sebaliknya terdiri daripada keluarga serta masyarakat luar bandar yang datang berkunjung.
“RM50 untuk 15 minit memang mahal. Kalau satu jam, mungkin RM200 hingga RM300 pun sudah dirasakan tinggi,” katanya.
Selain itu, suri rumah, Siti Aziah Mansor, 71, berkata bagi mengelakkan kesesakan dan berebut mendapatkan kemudahan berkenaan, dia sekeluarga terpaksa bergerak awal.
“Saya dan suami bergerak seawal pukul 8 pagi supaya dapat menggunakan perkhidmatan yang disediakan tanpa perlu berebut. Kalau lambat, memang terpaksa menunggu di bawah panas terik,” katanya.
Manakala bagi kakitangan swasta dari Shah Alam, Nami Saleem, 28, berkata kadar berkenaan tidak berbaloi kerana pengunjung turut perlu memandu sendiri buggy terbabit.
“Keadaan kawasan MAHA yang sesak turut menimbulkan kebimbangan pengunjung tidak sempat mengunjungi seluruh kawasan pameran dalam tempoh sewaan singkat,” katanya. – UTUSAN
The post Buggy percuma untuk awam, berbayar untuk korporat appeared first on Utusan Malaysia.






