Insentif cukai baharu 70% pacu potensi pertumbuhan Pentamaster dalam teknologi pembungkusan termaju - RHB Research

LocalTechnology
6 Nov 2026 • 10:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Insentif cukai baharu 70% pacu potensi pertumbuhan Pentamaster dalam teknologi pembungkusan termaju - RHB Research Image from: Insentif cukai baharu 70% pacu potensi pertumbuhan Pentamaster dalam teknologi pembungkusan termaju - RHB Research hamden06/11/2026 - 10:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kelulusan insentif cukai baharu yang memberikan pengecualian bersamaan 70% daripada pendapatan berkanun dijangka memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang Pentamaster Corporation Bhd, khususnya dalam pembangunan peralatan pembungkusan termaju dan fotonik termaju di bawah segmen peralatan ujian automatik (ATE).

 

RHB Research berkata insentif berkenaan berpotensi mengurangkan beban cukai bagi aktiviti yang layak, sekali gus meningkatkan keupayaan kumpulan mengekalkan keuntungan daripada pelaburan dalam teknologi semikonduktor generasi baharu ketika permintaan terhadap cip berprestasi tinggi untuk kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang.

 

Firma penyelidikan berkata, insentif cukai baharu itu juga dijangka menyokong usaha Pentamaster memperluas penawaran penyelesaian ujian pembungkusan termaju menerusi inisiatif 9 Samurai, yang berpotensi menjadi antara pemacu pertumbuhan pendapatan kumpulan menjelang tahun kewangan 2027 (FY27).

 

"Permintaan terhadap penyelesaian ujian AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi dijangka terus menyokong perkembangan segmen ATE, selain membuka peluang lebih besar dalam aplikasi semikonduktor termaju.

 

"Bagaimanapun, manfaat insentif baharu itu perlu dilihat dalam konteks prestasi keuntungan semasa kumpulan yang masih berdepan tekanan kadar cukai efektif lebih tinggi susulan tamat tempoh insentif cukai terdahulu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Keuntungan teras meningkat

Dalam perkembangan berkaitan, Pentamaster mencatatkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM49.2 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9M26), meningkat 10.1% tahun ke tahun.

 

Bagaimanapun, prestasi itu tidak mencapai jangkaan firma penyelidikan dan konsensus pasaran, masing-masing hanya memenuhi 62% dan 66% daripada unjuran keuntungan setahun penuh, berikutan kadar cukai efektif lebih tinggi daripada jangkaan pada 19.5%.

 

Keadaan itu berlaku selepas insentif cukai terdahulu tamat tempoh, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap keuntungan bersih walaupun hasil kumpulan berkembang kukuh.

 

Dari segi operasi, hasil kumpulan meningkat 37.9% tahun ke tahun kepada RM585.3 juta bagi 9M26, didorong permintaan kukuh terhadap penyelesaian automasi berasaskan AI dan peralatan ujian dalam segmen elektro-optik, selain sumbangan sulung daripada perniagaan pembungkusan termaju.

 

Segmen penyelesaian automasi kilang (FAS) mencatatkan peningkatan hasil 72.3% kepada RM171.6 juta, disokong permintaan lebih kukuh daripada sektor pengkomputeran AI yang menyumbang 63% daripada hasil segmen pada 3Q26, serta sektor perubatan sebanyak 34%.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu meningkat 82.9% tahun ke tahun kepada RM50.7 juta, dibantu campuran produk lebih menguntungkan dan manfaat ekonomi bidangan.

 

Buku tempahan menghampiri rekod tertinggi

Firma penyelidikan berkata, buku pesanan tertunggak Pentamaster kekal hampir pada paras rekod tertinggi sebanyak RM520 juta, walaupun susut 5.5% suku ke suku.

 

Daripada jumlah itu, segmen perubatan menyumbang 45%, pengkomputeran AI sebanyak 30%, pengguna dan perindustrian 10%, manakala baki 15% diagihkan secara sama rata kepada segmen lain.

 

Buku tempahan yang kukuh itu memberikan keterlihatan pendapatan bagi suku keempat 2026 (4Q26) dan FY27, khususnya dengan permintaan berterusan daripada sektor pengkomputeran AI dan perubatan.

 

Dalam usaha memenuhi permintaan tersebut, Pentamaster turut memperluas kemudahan Campus 3 dengan mengaktifkan tambahan ruang tidak digunakan seluas 120,000 kaki persegi bagi menyokong aktiviti pembuatan pada masa hadapan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Pentamaster dengan harga sasaran RM6.32, bersamaan potensi kenaikan 23% serta hasil dividen 1%.

 

Bagaimanapun, firma itu mengurangkan unjuran keuntungan FY26 sebanyak 9% selepas mengambil kira andaian kadar cukai efektif lebih tinggi, manakala unjuran FY27 hingga FY28 dikekalkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved