hamden20/10/2026 - 14:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt - Solarvest Holdings Bhd dijangka menjadi antara penerima manfaat utama daripada pelaksanaan projek tenaga boleh baharu berskala besar di Malaysia, dengan kontrak bernilai RM20 bilion hingga RM25 bilion berpotensi membuka ruang pertumbuhan baharu kepada kumpulan itu.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), yang paling optimis antara 12 penganalisis yang meliputi syarikat itu menurut tinjauan Bloomberg, mengekalkan saranan “beli” terhadap saham Solarvest dan menaikkan harga sasaran kepada RM5.68 daripada RM4.31 sebelum ini.
Harga sasaran baharu itu hampir RM1 lebih tinggi berbanding purata RM4.57 dalam kalangan penganalisis yang meliputi saham berkenaan.
Maybank IB berkata, kedudukan Solarvest sebagai pemain yang berjaya memperoleh 30% daripada kontrak solar semasa di Malaysia meletakkan kumpulan itu pada kedudukan baik untuk meraih peluang daripada pelaksanaan projek di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan program Solar Berskala Besar keenam (LSS6) antara 2027 hingga 2029.
Menurut firma penyelidikan itu, Solarvest menyasarkan untuk memulakan projek dengan kapasiti penjanaan terkumpul antara 300 megawatt (MW) hingga 500MW pada tahun kewangan berakhir 2027 (FY2027), terutamanya menerusi CRESS.
Penambahan kontrak di bawah CRESS dan LSS6 dalam tempoh dua tahun kewangan berikutnya pula dijangka membantu kumpulan itu mengekalkan bahagian pasaran sebanyak 30%.
Sejajar dengan prospek tersebut, Maybank IB menaikkan unjuran kontrak baharu Solarvest bagi FY2028 kepada RM2.8 bilion daripada RM1.6 bilion sebelum ini.
Firma itu turut meningkatkan unjuran pendapatan Solarvest bagi FY2027 hingga FY2029 antara 1% hingga 30%, mencerminkan jangkaan pertumbuhan yang lebih kukuh apabila pelaksanaan projek tenaga boleh baharu semakin rancak.
Kenaikan caj CRESS tidak jejas prospek secara ketara
Maybank IB kekal positif terhadap sektor tenaga boleh baharu meskipun terdapat kenaikan caj penggunaan grid di bawah CRESS.
Suruhanjaya Tenaga baru-baru ini memperkenalkan caj tambahan empat sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) kepada pengguna elektrik hijau, menjadikan jumlah Caj Akses Sistem (SAC) kepada 18 sen/kWj.
Caj tersebut dikenakan bagi menyalurkan tenaga boleh baharu melalui grid elektrik nasional daripada pengeluar bebas kepada pelanggan korporat.
Bagaimanapun, Maybank IB berpandangan kadar baharu itu tidak mungkin memberi kesan besar terhadap permintaan projek tenaga boleh baharu kerana masih lebih rendah daripada kadar 20 sen/kWj yang dicadangkan pada peringkat awal.
“Kebanyakan projek dalam saluran pembangunan kekal utuh, disokong oleh sasaran penyahkarbonan pengendali pusat data (DC) serta daya tarikan CRESS dalam memberikan penjimatan kos tenaga dan perlindungan jangka panjang daripada kenaikan tarif Tenaga Nasional Bhd (TNB),” kata firma penyelidikan itu.
Permintaan daripada pengendali pusat data yang mahu mengurangkan pelepasan karbon, selain usaha mengurus kos tenaga dalam jangka panjang, dijangka terus menyokong pelaksanaan projek di bawah skim berkenaan. - DagangNews.com






