Operasi dua gudang baharu dijangka pacu pemulihan prestasi Tasco pada 2HFY27 - RHB Research

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Operasi dua gudang baharu dijangka pacu pemulihan prestasi Tasco pada 2HFY27 - RHB Research Image from: Operasi dua gudang baharu dijangka pacu pemulihan prestasi Tasco pada 2HFY27 - RHB Research hamden06/11/2026 - 12:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - TASCO Bhd dijangka mencatatkan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2027 (2HFY27), disokong penjimatan kos daripada operasi dua gudang baharu serta faktor bermusim yang memacu aktiviti logistik, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, gudang baharu di Shah Alam Logistics Centre (SALC) dan Northport yang mempunyai jumlah kapasiti 700,000 kaki persegi telah siap dibina pada Jun lalu dan mula beroperasi pada Ogos.

 

Pembukaan kedua-dua kemudahan itu menyusuli penutupan ruang gudang sedia ada seluas 370,000 kaki persegi, sekali gus dijangka menjana penjimatan kos bulanan antara RM200,000 hingga RM300,000.

 

"Peningkatan prestasi suku ke suku pada 2QFY27 turut mengukuhkan jangkaan bahawa TASCO mampu mencatatkan keputusan lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan BELI terhadap saham TASCO dengan harga sasaran RM0.62, yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 73%, selain menawarkan hasil dividen 4% bagi FY27F.

 

Prestasi kewangan

Dari segi prestasi kewangan, keuntungan teras TASCO bagi 2QFY27 meningkat 26% suku ke suku dan 2% tahun ke tahun kepada RM9.1 juta.

 

Bagaimanapun, keuntungan teras bagi separuh pertama FY27 (1HFY27) susut 14.6% tahun ke tahun kepada RM16.4 juta, bersamaan 39% daripada unjuran firma penyelidikan dan konsensus pasaran.

 

RHB Research bagaimanapun menganggap keputusan berkenaan masih dalam jangkaan, mengambil kira prospek pemulihan pada 2HFY27 yang disokong faktor bermusim serta sumbangan operasi gudang baharu.

 

Hasil TASCO pada 2QFY27 meningkat 10.1% suku ke suku dan 16.6% tahun ke tahun kepada RM270 juta, menjadikan hasil terkumpul 1HFY27 sebanyak RM515.3 juta, meningkat 13.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu didorong peningkatan jumlah pengendalian penghantaran kargo udara (AFF), khususnya ke Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

 

Kelemahan bahagian logistik kontrak

Bagaimanapun, prestasi lebih baik AFF sebahagiannya diimbangi kelemahan bahagian logistik kontrak (CL) yang mencatatkan kerugian pada 2QFY27 berikutan penghantaran projek lebih rendah.

 

Kelemahan CL menyebabkan keuntungan keseluruhan bahagian penyelesaian perniagaan domestik (DBS) merosot 68% tahun ke tahun, meskipun hasilnya kekal mendatar pada RM132 juta.

 

Dari sudut prospek cukai, firma penyelidikan itu terus menjangkakan kadar cukai efektif TASCO berada di bawah 20% bagi FY27, dengan sebahagian besar rebat cukai dijangka diterima pada suku keempat FY27 (4QFY27).

 

Firma itu tidak mengubah unjuran pendapatan susulan keputusan yang menepati jangkaan, manakala harga sasaran RM0.62 dikekalkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 12 kali, termasuk premium ESG sebanyak 2%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved