Insentif pejabat keluarga tunggal tarik aset RM21 bilion ke Malaysia, lepasi 10 kali ganda sasaran SC

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Insentif pejabat keluarga tunggal tarik aset RM21 bilion ke Malaysia, lepasi 10 kali ganda sasaran SC Image from: Insentif pejabat keluarga tunggal tarik aset RM21 bilion ke Malaysia, lepasi 10 kali ganda sasaran SC amree02/11/2026 - 15:50 Gambar kredit Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov — Skim insentif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) Malaysia berjaya menarik aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai indikatif RM20.8 bilion setakat September 2026, sekali gus melepasi sasaran asal RM2 bilion sebanyak lebih 10 kali ganda, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Pengarah Eksekutifnya, Shahrul Amry Abd Malek berkata, pencapaian itu dicapai lebih awal daripada sasaran akhir 2026 sejak skim tersebut diperkenalkan pada September 2024, yang mencerminkan minat keluarga tempatan dan antarabangsa untuk mengurus serta mengembangkan kekayaan mereka di Malaysia.

 

Beliau berkata, skim itu turut dijangka menjana sekurang-kurangnya RM200 juta pelaburan baharu ke dalam pasaran modal tempatan, selain memberi limpahan manfaat kepada sektor perbankan, pengurusan dana, penasihat pelaburan, pemegang amanah serta khidmat guaman dan percukaian.

 

"Malaysia ada asas kukuh muncul menjadi hab modal swasta serantau dipacu pasaran modal tumbuh kepada RM4.5 trilion ketika ini berbanding RM4.3 trilion tahun lalu, selain kedudukannya sebagai pasaran sukuk terbesar dunia," ucapnya ketika Sidang Kemuncak Pejabat Keluarga Malaysia pada Isnin.

 

Tambah Shahrul Amry, peluang pelaburan turut terbuka luas menerusi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, tetapi masih lagi berdepan jurang pembiayaan dianggarkan mencecah RM268 bilion.

 

Katanya, keadaan itu membuka ruang kepada pejabat keluarga menyediakan modal jangka panjang dan pembiayaan lebih fleksibel kepada perniagaan berpotensi tinggi, sekali gus membolehkan pelabur mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi sambil meraih pulangan bersesuaian dengan risiko.

 

Suruhanjaya Sekuriti_DagangNews2026

 

Shahrul Amry turut menekankan peranan platform pelaburan bersama seperti Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) yang sudah menggerakkan RM7.7 bilion dana untuk lebih 11,500 perniagaan melalui kerjasama awam dan swasta, selain potensi 18,000 syarikat pertengahan (MTC) untuk berkembang.

 

"Dalam perkembangan lain, SC turut memperluas akses kepada model Pejabat Keluarga Pelbagai (MFO) selaras langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, membolehkan keluarga melantik pengurus dana berlesen SC secara langsung tanpa perlu menubuhkan syarikat pengurusan berasingan," kata beliau.

 

Menurutnya, pendekatan itu dapat mengurangkan beban operasi dan kos pentadbiran, selain memberikan fleksibiliti kepada keluarga untuk mendapatkan khidmat pengurusan pelaburan profesional mengikut keperluan serta perkembangan portfolio masing-masing.

 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kelayakan menikmati kadar cukai sifar peratus ke atas semua pendapatan di bawah skim SFO masih tertakluk kepada syarat substantif yang ditetapkan bagi setiap kenderaan pelaburan, meskipun model MFO diperkenalkan untuk memperluas pilihan pengurusan kekayaan.

 

Selain itu, sumbangan kepada Dana Sosial Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan diiktiraf sebagai perbelanjaan operasi tempatan, manakala keluarga yang menerima kelulusan bersyarat baharu perlu memohon pensijilan pertama dalam tempoh 18 bulan bagi memastikan pejabat beroperasi secara aktif di Malaysia.

 

"SC justeru menegaskan Malaysia bersedia menjadi destinasi pilihan keluarga pelabur untuk menempatkan, mengembangkan dan mengurus kekayaan jangka panjang, disokong kedudukan strategik di ASEAN, tenaga kerja berkualiti serta ekosistem kewangan Islam yang kukuh," jelasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved