Insiden berkaitan Jalur Gemilang perlu diambil tindakan saksama tanpa mengira politik

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 7:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Insiden berkaitan Jalur Gemilang perlu diambil tindakan saksama tanpa mengira politik

PUTRAJAYA: Sebarang insiden membabitkan Jalur Gemilang perlu dinilai menggunakan ukuran yang sama tanpa mengira parti politik, negeri atau individu yang terlibat.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menegaskan, kesalahan membabitkan bendera negara tidak seharusnya dilihat serius apabila dilakukan oleh pihak yang tidak disokong, tetapi dianggap kecil apabila berlaku dalam lingkungan sendiri.

“Jalur Gemilang bukan milik PH, PN atau BN. Ia maruah 34 juta rakyat Malaysia. Kalau benar ia rosak akibat ribut, siasat, jelaskan dan perbetulkan. Itu tindakan yang wajar. Tetapi prinsip yang sama mesti digunakan kepada semua orang, semua negeri dan semua parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk isu pemasangan Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang di Dataran Batu Burok, Terengganu, Jumaat lalu yang mendapat perhatian selepas penjelasan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dr Sathia berkata, masyarakat tidak seharusnya membiarkan emosi politik mempengaruhi penilaian terhadap sesuatu isu sehingga fakta diketepikan.

“Jangan biarkan fikiran kita dimainkan sehingga satu kesalahan nampak sangat besar apabila dilakukan oleh pihak yang kita tidak suka, tetapi tiba-tiba menjadi kecil apabila berlaku kepada pihak yang kita sokong,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu berhati-hati dengan naratif yang diulang berkali-kali sehingga akhirnya emosi mengambil alih fakta.

“Jangan hari ini kita menghukum orang dengan penuh kemarahan, kemudian esok apabila perkara hampir sama berlaku di depan mata sendiri, kita mencari seribu alasan. Hari ini rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Jalur Gemilang merupakan simbol negara dan tidak sepatutnya dijadikan ukuran berdasarkan kecenderungan politik. – UTUSAN

The post Insiden berkaitan Jalur Gemilang perlu diambil tindakan saksama tanpa mengira politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved