
Jalur Gemilang Tanpa Bulan Bintang Di Batu Buruk Akibat Kesilapan Teknikal - Ahmad Samsuri
Pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit dan bintang di Dataran Batu Buruk di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini, berpunca daripada kesilapan teknikal dan bukan dilakukan secara sengaja.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejadian berkenaan merupakan kes terpencil yang tidak disengajakan.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, termasuk membabitkan pihak yang memasang Jalur Gemilang di kawasan awam.
“Saya rasa itu bukan kes yang disengajakan, kes yang terpencil yang tidak disengajakan.
“Apa-apa pun, kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walau siapa jua yang memasangnya termasuklah orang awam dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Baca juga:Sebelum ini, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan Jalur Gemilang yang dikibarkan di Dataran Batu Buruk tanpa lambang bulan sabit dan bintang, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet.
Dalam perkembangan sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Lizan Che Mat menjelaskan, Jalur Gemilang berkenaan pada asalnya mempunyai lambang bulan sabit dan bintang yang dijahit secara berasingan.
Katanya, bahagian berkenaan tercabut selepas bendera berkenaan dilanda angin kencang.
“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang, cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan.
“Selepas ini, kita tidak akan jahit lagi, sebaliknya kita akan beli bendera yang sudah siap dan sempurna sepenuhnya,” jelasnya.
Lizan berkata, MBKT mengambil tindakan segera dengan menurunkan Jalur Gemilang yang terjejas pada hari kejadian sebelum menggantikannya dengan bendera baharu.
Menurutnya, langkah berkenaan bagi memastikan setiap Jalur Gemilang yang dipasang mematuhi spesifikasi ditetapkan serta berada dalam keadaan sempurna.
Katanya, MBKT turut memandang serius aspek pemasangan Jalur Gemilang di kawasan awam dan akan memastikan keadaan bendera sentiasa dipantau bagi mengelakkan kejadian sama berulang.






