
SHAH ALAM, 27 OGOS: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan melibatkan permainan roller coaster di Taman Tema Sunway Lagoon, Sabtu lepas bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen kecuaian mahupun sabotaj.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor yang menumpukan kepada kepakaran aspek teknikal.
“Kita telah berbincang dengan agensi-agensi berkenaan dan pada akhirnya kita akan melakukan semakan silang hasil dapatan bagi menentukan punca sebenar kemalangan tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata dua mangsa masih dirawat di hospital namun tidak melibatkan sebarang kecederaan serius, manakala mangsa lain yang terjejas telah dibenarkan pulang atau menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Mengenai tindakan susulan di lokasi, Shazeli berkata operasi permainan kenderaan lungsur berkenaan ditutup sementara sehingga siasatan selesai sepenuhnya bagi membolehkan pasukan penyiasat menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap struktur fizikal permainan serta bilik kawalan yang terlibat.
Beliau berkata polis juga telah merakam keterangan ramai saksi merangkumi petugas operasi taman tema, penjaga permainan serta mangsa yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Siasatan menyeluruh diteruskan bagi melengkapkan maklumat berkaitan dan polis tidak mengabaikan sebarang petunjuk baharu yang timbul sepanjang proses siasatan dijalankan," katanya.
Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata 10 individu mengalami kecederaan ringan dalam satu insiden roller coaster di sebuah taman tema.
Kejadian itu berlaku kira-kira 9 malam Sabtu dan laporan polis dibuat pada 11.45 pagi Ahad.






