Cuai, sabotaj antara siasatan dijalankan terhadap kemalangan roller coaster

27 Aug 2026 • 12:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Sabotaj roller coaster

SHAH ALAM: Unsur kecuaian dan sabotaj antara perkara yang disiasat polis termasuk pelbagai aspek lain berhubung kemalangan membabitkan roller coaster dekat Taman Tema Sunway Lagoon, di Subang Jaya pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan turut dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri ini.

“Polis sedang menjalankan siasatan untuk melihat sekiranya wujud sebarang elemen-elemen kecuaian ataupun sabotaj. Namun ada beberapa agensi lain turut menjalankan siasatan. Kesemua siasatan kini tertumpu kepada aspek teknikal.

“Semua agensi-agensi akan melihat pelbagai aspek terutamanya teknikal yang mana mereka lebih pakar. Jadi kami bekerjasama, kita jalankan siasatan mengikut bidang kuasa dan kepakaran masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan seramai 10 individu termasuk pelancong asing cedera selepas terlibat dalam kemalangan permainan roller coaster taman tema berkenaan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.45 pagi semalam.

Bagaimanapun, Sunway Lagoon dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya bersedia memberikan bantuan dan sokongan kepada pengunjung yang terjejas dalam insiden roller coaster itu.

Shazeli menambah, sehingga kini dua mangsa masih menerima rawatan di hospital sementara yang lain sudah pun dibenarkan pulang dan juga menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Ketika ini, roller coaster tersebut ditutup sementara waktu sehingga siasatan selesai dijalankan bagi menentukan punca kemalangan. Keterangan daripada pelbagai pihak sudah pun diambil termasuk petugas taman tema berkenaan, penjaga roller coaster, mangsa dan saksi-saksi lain.

”Tetapi, kami masih berusaha mencari lagi beberapa maklumat yang berkaitan aspek kecuaian dan juga unsur sabotaj. Sekiranya dalam proses siasatan terdapat unsur baharu ditemui, itu pun kita akan siasat juga,” jelasnya. – UTUSAN

The post Cuai, sabotaj antara siasatan dijalankan terhadap kemalangan roller coaster appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved