
PETALING JAYA: Taman Tema Sunway menyatakan kesediaannya untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada pengunjung yang terjejas dalam insiden roller coaster di Sunway Lagoon, baru-baru ini.
Pihak pengurusan itu berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat serta memberi kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkaitan yang sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden yang menjejaskan 10 pengunjung itu.
Katanya, syarikat berasa kesal dengan kejadian tersebut sambil menegaskan ingatan dan sokongan mereka sentiasa bersama para pengunjung serta keluarga yang terlibat.
“Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung merupakan keutamaan tertinggi kami. Sejak insiden berkenaan, tumpuan serta-merta kami adalah pada penjagaan, keperluan perubatan serta kesejahteraan dalam kalangan mereka yang terjejas.
“Kami menyediakan bantuan perubatan dan sokongan yang diperlukan serta sentiasa berhubung rapat dengan para pengunjung dan ahli keluarga mereka,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Taman Tema Sunway memaklumkan pihaknya juga akan terus memberikan bantuan penuh kepada pihak berkuasa selain memastikan sokongan berterusan diberikan kepada mereka yang terjejas.
“Taman Tema Sunway mengambil maklum dan memandang insiden ini secara amat serius. Kami kekal memberi komitmen teguh untuk mempertahankan piawaian keselamatan tertinggi di seluruh tarikan dan kemudahan kami,” tambahnya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, dilaporkan berkata 10 individu mengalami kecederaan ringan dalam satu insiden roller coaster di sebuah taman tema.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 malam pada Sabtu, manakala laporan polis dibuat pada pukul 11.45 pagi pada Ahad. – UTUSAN
The post Taman Tema Sunway sedia beri bantuan sokongan appeared first on Utusan Malaysia.






