Institusi diraja berperanan sebagai pendamai konflik kuasa

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Institusi diraja berperanan sebagai pendamai konflik kuasa

SHAH ALAM, 23 OKT: Institusi diraja berperanan penting sebagai pendamai ketika berlaku pertentangan kuasa antara pihak berkepentingan, sekali gus membantu memelihara kestabilan pentadbiran dan keharmonian negara.

Anggota Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Selangor, Prof Madya Dato’ Dr Muhammad Ayman Al-Akiti berkata sistem kesultanan bukan sekadar warisan sejarah, malah mempunyai kedudukan tersendiri dalam memastikan konflik dapat diredakan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat.

“Institusi diraja berpotensi menjadi pihak yang meredakan ketegangan apabila berlaku konflik melibatkan kuasa eksekutif, sekali gus membantu memelihara kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Raja Berdaulat Memayungi Umat’ anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, malam tadi.

Image from: Institusi diraja berperanan sebagai pendamai konflik kuasa
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima buku daripada Pengerusi MAIS, Dato' Salehuddin Saidin ketika pelancaran buku koleksi terpilih titah ucapan Sultan Selangor pada Majlis Forum Perdana Ehwal Islam sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan 25 Tahun Sultan Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas pengajaran daripada sejarah pemerintahan Islam, Muhammad Ayman berkata fitnah dan tuduhan tidak berasas boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat serta melemahkan sesebuah pemerintahan.

Beliau mengambil contoh Empayar Uthmaniyyah yang berdepan pelbagai tuduhan, termasuk dakwaan tidak membela bangsa Arab, sedangkan pemerintahannya meliputi pelbagai wilayah dan kelompok masyarakat.

Menurutnya, budaya memburukkan pihak lain dan menyebarkan tuduhan tanpa asas bukan sahaja menjejaskan reputasi individu, malah berpotensi mencetuskan perpecahan serta menggugat kestabilan pemerintahan.

Sehubungan itu, beliau berkata nasihat Sultan Selangor supaya umat Islam menjauhi budaya fitnah-memfitnah wajar dijadikan panduan dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menilai kesahihan maklumat dengan cermat dan tidak menyebarkan tuduhan yang boleh mencetuskan perselisihan serta menjejaskan keharmonian negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved