Google sedia melakukan integrasi kecerdasan buatan janaan pada enjin carian mereka, dimana ia memperlihatkan ringkasan atau sesuatu maklumat pada bahagian atas halaman keputusan carian, sebelum diperlihatkan pautan-pautan web dibawahnya. Walaupun perkara ini memudahkan para pengguna, namun untuk pemilik web, ia mula memberikan kesan negatif.
Mengikut laporan WSJ, trafik klik daripada carian Google ke web-web penerbit kandungan dan berita telah mula berkurangan secara drastik berbanding sebelum integrasi AI pada carian Google.
Beberapa syarikat telah mula memikirkan kaedah lain untuk menjana trafik, dan menganggarkan trafik daripada Google akan menjadi sifar bergerak kehadapan.

Google sendiri telah memperkenalkan AI Mode baru-baru ini, sekaligus membawa paparan dengan fokus terhadap kecerdasan buatan janaan sepenuhnya. Walaupun pautan dipaparkan pada bahagian penghujung sesuatu teks, namun kebarangkalian pengguna klik padanya adalah lebih rendah berbanding sebelum ini.
Selain Google, media sosial juga turut telah tidak mengutamakan perkongsian pautan, membuatkan capaian ke web-web penerbit kandungan semakin berkurangan. Ini membuatkan penerbit kandungan melihat kepada beberapa kaedah alternatif seperti pelesenan kandungan untuk melatih model kecerdasan buatan, dan lain-lain.
