Jika anda sedang memikirkan untuk membina atau membeli komputer desktop atau komputer riba baharu, anda mungkin mahu menunggu sehingga tahun hadapan apabila Intel dijangka akan memperkenalkan kemaskini baru kepada siri cip pemprosesan generasi sebelum ini, iaitu Intel Raptor Lake Next berdasarkan siri cip pemprosesan yang dilancarkan pada penghujung tahun 2023.
Beberapa laporan telah mengumumkan bahawa Intel dilihat akan memperlihatkan kemaskini baru lagi kepada siri cip pemprosesan tersebut, yang menariknya akan dilabelkan dibawah nama Intel Core Ultra 200 yang kini digunakan untuk siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake dan Arrow Lake Refresh.
Kemaskini ini nampaknya dilakukan kerana bekalan memori DDR5 yang masih lagi menjadi satu isu besar untuk komputer pengguna, dan penggunaan siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake dan Raptor Lake Refresh masih lagi sangat meluas tidak kira untuk komputer desktop ataupun komputer riba.

Siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake Next juga akan hadir dengan sokongan untuk kedua-dua jenis memori DDR4 dan DDR5, bergantung kepada keperluan pengguna. Untuk komputer kelas desktop, cip pemprosesan Raptor Lake Next akan terus menggunakan papan induk dengan soket LGA-1700 yang digunakan pada model-model Intel Raptor Lake sebelum ini.
Setakat ini, tidak banyak yang diketahui tentang konfigurasi cip-cip pemprosesan ini. Malah, siri cip pemprosesan ini nampaknya hanya akan diperkenalkan pada awal tahun 2027, selepas siri cip pemprosesan akan datang Intel Nova Lake diperkenalkan.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bagaimanakah Intel akan membezakan penawaran siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake/Arrow Lake Refresh dan Intel Raptor Lake Next menggunakan nama model yang sama.
Sumber: Tom’s Hardware





