amree16/10/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — IOI Properties Group Berhad menawarkan sebanyak 550.61 juta unit dalam IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) kepada pemegang sahamnya menerusi tawaran jualan terhad pada nisbah satu unit bagi setiap 10 saham sedia ada yang dipegang.
Tawaran berkenaan memberi peluang kepada pemegang saham yang layak untuk melanggan unit amanah hartanah tersebut, berdasarkan pegangan saham masing-masing pada tarikh kelayakan yang ditetapkan.
Menurut makluman kumpulan pemaju hartanah itu kepada Bursa Malaysia, langkah pelaksanaan tawaran berkenaan pula hanya bersifat tidak boleh dilepaskan hak dan tidak boleh didagangkan semula.
"Tarikh akhir kelayakan ditetapkan pada 30 Oktober 2026, manakala saham IOI Properties akan didagangkan tanpa hak kelayakan atau ex-date mulai 29 Oktober 2026," jelas syarikat berkenaan.
Pemegang saham yang layak ujar kumpulan berkenaan, akan menerima tawaran berdasarkan nama mereka dalam Rekod Pendeposit IOI Properties ketika penutupan urus niaga pada 30 Oktober 2026.
Dokumen tawaran, termasuk notis tawaran sementara dan borang penerimaan, akan dihantar kepada pemegang saham yang layak di alamat di Malaysia yang direkodkan, manakala prospektus IOIPG REIT akan disediakan secara elektronik.

Jelasnya lagi, pemegang saham berkenaan boleh melanggan kesemua atau pun sebahagian sahaja daripada unit yang diperuntukkan dengan membayar harga runcit penuh seperti dinyatakan dalam dokumen tawaran.
Tarikh akhir penerimaan dan pembayaran serta permohonan unit lebihan ditetapkan secara tentatif pada pukul 5 petang 10 November 2026. Tempoh permohonan unit lebihan pula dijadualkan dari 3 hingga 10 November 2026.
"IOI Properties turut membenarkan permohonan unit lebihan oleh pemegang saham yang layak. Unit yang tidak dilanggan daripada tawaran asal boleh disediakan kepada pemegang saham lain yang memohon unit lebihan," tambah kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun ujarnya, pemegang saham yang tidak melanggan sepenuhnya atau sebahagian daripada kelayakan mereka tidak akan menerima sebarang bayaran tunai sebagai ganti hak tersebut.
Unit IOIPG REIT dijadualkan disenaraikan pada 25 November 2026, namun tarikh berkenaan masih tentatif dan boleh berubah. IOIPG REIT akan mengumumkan jadual penyenaraian selanjutnya kelak. - DagangNews.com






