IOI Properties, CapitaLand kemuka minat bersama ambil alih One Raffles Place di Singapura

Business & FinanceProperty
12 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Properties, CapitaLand kemuka minat bersama ambil alih One Raffles Place di Singapura Image from: IOI Properties, CapitaLand kemuka minat bersama ambil alih One Raffles Place di Singapura sarah12/10/2026 - 18:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt - IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mengesahkan bahawa anak syarikat milik penuhnya bersama entiti pelaburan yang diuruskan CapitaLand Investment Ltd (CLI) mengemukakan pernyataan minat secara bersama untuk mengambil alih 100% kepentingan dalam One Raffles Place di Singapura.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, IOIPG berkata kedua-dua pihak, yang bertindak sebagai pembeli, bercadang melaksanakan cadangan transaksi itu berdasarkan pegangan sama rata, masing-masing sebanyak 50%.

 

Perkembangan itu susulan laporan The Business Times bertajuk 'IOI Properties and CapitaLand Investment closer to acquiring One Raffles Place in joint bid'.

 

Berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, One Raffles Place merupakan pembangunan komersial bersepadu yang merangkumi dua menara pejabat dan sebuah podium runcit.

 

Menara 1 ialah bangunan pejabat 62 tingkat dengan ruang runcit di bumbung yang siap dibina pada 1986, dengan tempoh pegangan tanah selama 841 tahun bermula 1 November 1985.

 

Menara 2 pula merupakan bangunan pejabat 38 tingkat dengan ruang runcit tambahan dan satu aras bawah tanah, yang siap pada 2012. Tempoh pegangan tanahnya ialah 99 tahun bermula 26 Mei 1983.

 

Podium runcit lima tingkat dengan satu aras bawah tanah itu siap dibina pada 1986, dengan sebahagian besar kawasan terletak di atas tanah yang mempunyai tempoh pegangan 99 tahun bermula 1 November 1985.

 

IOIPG berkata kedua-dua pembeli sedang meneruskan proses usaha wajar serta rundingan eksklusif dengan pihak penjual bagi mencapai persetujuan mengenai terma transaksi yang boleh diterima bersama.

 

Pembeli dan penjual juga sedang bekerjasama dengan niat baik serta menggunakan usaha komersial yang munasabah untuk memuktamadkan terma perjanjian muktamad dan dokumen berkaitan transaksi serta penyempurnaannya.

 

Bagaimanapun, proses itu tertakluk kepada penyempurnaan usaha wajar oleh pembeli dengan memuaskan sepanjang tempoh eksklusiviti.

 

IOIPG berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan transaksi yang dicadangkan itu kepada pemegang saham dan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd sekiranya terdapat perkembangan material, termasuk pemeteraian sebarang perjanjian muktamad.

 

Butiran berkaitan transaksi serta kelulusan yang diperlukan akan didedahkan pada peringkat sewajarnya, selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved