JAKS Resources sasar kumpul RM40.7 juta menerusi penempatan saham, kurangkan hutang RM33.5 juta

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JAKS Resources sasar kumpul RM40.7 juta menerusi penempatan saham, kurangkan hutang RM33.5 juta Image from: JAKS Resources sasar kumpul RM40.7 juta menerusi penempatan saham, kurangkan hutang RM33.5 juta amree16/10/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt — JAKS Resources Berhad merancang mengumpul sehingga RM40.71 juta menerusi cadangan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya bagi mengurangkan hutang dan menampung keperluan modal kerja.

 

Kumpulan pembinaan dan tenaga itu memaklumkan Bursa Malaysia, hasil penempatan berkenaan akan digunakan terutamanya untuk membayar sebahagian kemudahan kredit yang sedia ada, dengan peruntukan sebanyak RM33.50 juta bagi tujuan tersebut.

 

Langkah berkenaan dijangka dapat menjana penjimatan faedah kira-kira RM2.37 juta setahun, ketika jumlah pinjaman bank yang ditanggung oleh kumpulan tersebut sudah mencecah sebanyak RM422.39 juta setakat 13 Oktober 2026.

 

"Penempatan itu melibatkan penerbitan 262.63 juta saham baharu kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti. Harga terbitan masih belum ditetapkan, dan anggaran kutipan berdasarkan harga indikatif 15.5 sen sesaham," kata JAKS Resources.

 

Bagaimanapun ujar kumpulan berkenaan, harga akhir penempatan tidak boleh melebihi diskaun kira-kira 10% daripada purata harga pasaran berwajaran volum lima hari saham syarikat itu sebelum tarikh penetapan harga.

 

Daripada jumlah pinjaman bank itu, RM232.20 juta merupakan pinjaman jangka pendek, manakala RM190.15 juta ialah pinjaman jangka panjang. Selepas pembayaran balik yang dirancang, jumlah pinjaman dijangka kurang kepada RM388.89 juta.

 

JAKS_DagangNews2026

 

Selain usaha pembayaran hutang berkenaan, JAKS Resources turut memperuntukkan RM5.91 juta daripada hasil penempatan itu bagi tujuan keperluan modal kerja am, termasuk kos kakitangan, fi pengarah dan perbelanjaan pentadbiran semasa.

 

"Pada masa sama, baki hasil penempatan tersebut akan dapat digunakan kumpulan ini untuk menampung anggaran segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan korporat berkenaan," katanya.

 

Sehubungan itu, M&A Securities Sdn Bhd dilantik syarikat tersebut sebagai penasihat dan ejen penempatan bagi urus niaga berkenaan, yang disasarkan dapat selesai pada suku keempat 2026.

 

Cadangan penempatan itu membolehkan JAKS Resources mendapatkan dana baharu melalui penerbitan saham kepada pelabur pihak ketiga, tertakluk pada harga terbitan akhir dan pelaksanaan urus niaga.

 

Di Bursa Malaysia pada 15 Oktober, sahamnya ditutup meningkat setengah sen atau 3.45% kepada 15 sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM393.94 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved