amree18/09/2026 - 15:55 Foto kredit IOI Properties Group Berhad Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — IOI Properties Group Berhad melengkapkan pengambilalihan pemilikan tidak langsung Asia Square Tower 2 di Singapura dengan nilai sebanyak S$2.47 bilion (RM7.95 bilion), sekali gus menambah aset pejabat premium kumpulan di daerah pusat perniagaan (CBD) negara itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan hartanah tersebut berkata, penyelesaian transaksi itu dibuat selepas dilengkapkan bayaran harga pembelian sebanyak S$1.196704 bilion (RM3.83 bilion) serta pembayaran balik pinjaman pemegang saham berjumlah S$1.277504 bilion (RM4.09 bilion).
Pengambilalihan tersebut dilaksanakan menerusi anak syarikat kumpulan berkenaan, IOI Marina View Pte Ltd, yang mengambil alih keseluruhan modal saham diterbitkan MVKimi (BVI) Ltd. MVKimi memiliki Asia Square Tower 2 secara tidak langsung menerusi anak syarikat milik penuhnya.
"Asia Square Tower 2 merupakan pembangunan bersepadu setinggi 46 tingkat yang terletak di 12, Marina View, dalam kawasan CBD Singapura, merangkumi ruang pejabat Gred A, ruang peruncitan sokongan serta kemudahan tempat letak kereta," jelas IOI Properties.
Aset tersebut mempunyai keluasan lantai yang boleh disewa bersih kira-kira 71,814 meter persegi, menjadikannya antara aset komersial berskala besar dalam portfolio hartanah kumpulan berkenaan di negara maju Asia Tenggara itu.

Ujarnya, kumpulan tersebut melaksanakan pilihan beli pada 2 September 2026 selepas semua syarat terdahulu di bawah perjanjian opsyen jual dan beli dipenuhi. Pada tarikh sama, perjanjian jual beli (SPA) bagi transaksi berkenaan dianggap sebagai sudah pun dimeterai.
Transaksi itu pada asalnya diumumkan kumpulan tersebut pada April 2026 dengan nilai hartanah dipersetujui sebanyak S$2.476 bilion (RM7.92 bilion) yang dirundingkan berdasarkan prinsip pembeli dan penjual bersedia.
Harga pembelian ditetapkan MVKimi pula bagaimanapun tertakluk kepada pelarasan berdasarkan nilai aset bersih syarikat berkenaan pada tarikh penyelesaian transaksi.
Dengan penyelesaian pengambilalihan itu, IOI Properties kini menambah pemilikan tidak langsung terhadap Asia Square Tower 2 ke dalam portfolio hartanah komersialnya di Singapura, selaras dengan pengembangan kumpulan dalam aset berkualiti tinggi di lokasi strategik. - DagangNews.com






