Pengambilalihan tanah pacu prospek Sunway Healthcare

Business & Finance
3 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengambilalihan tanah pacu prospek Sunway Healthcare

PETALING JAYA: Prospek pertumbuhan jangka panjang Sunway Healthcare Holdings Bhd. dijangka kekal positif susulan cadangan pengambilalihan empat lot tanah pegangan bebas di Sunway City Iskandar Puteri, Johor bagi membangunkan sebuah hospital tertiari berkapasiti 410 katil.

Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) berkata, anak syarikat milik 99.9 peratus Sunway Healthcare, Sunway Medical Centre Sdn. Bhd., akan memperoleh tapak seluas 4.01 hektar itu pada harga RM45.37 juta menerusi perjanjian jual beli yang dimeterai.

Katanya, perjanjian itu dilakukan dengan Sunway Marketplace Sdn. Bhd., Sunway Parkview Sdn. Bhd. dan Sunway Iskandar Sdn. Bhd.

“Pengambilalihan tersebut selaras dengan strategi Sunway Healthcare untuk memperluaskan rangkaian hospital tertiari selain mengukuhkan kehadirannya di Johor.

“Hospital yang dicadangkan itu dijangka menjadi pemacu utama perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sunway City Iskandar Puteri, sebuah bandar bersepadu yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) .

“Tapak yang lebih luas itu juga memberi ruang kepada Sunway Medical untuk mengembangkan hospital tersebut pada masa hadapan serta membangunkan kemudahan kediaman warga emas,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

HLIB menurunkan penarafan saham Sunway Healthcare Holdings Bhd. kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’, namun mengekalkan harga sasaran pada RM2.05 sesaham, berikutan kenaikan harga saham syarikat itu baru-baru ini yang dilihat mengehadkan potensi kenaikan selanjutnya.

Dalam pada itu, HLIB menjangkakan nisbah penggearan bersih Sunway Healthcare akan meningkat sedikit kepada 28.8 peratus pada tahun kewangan 2027 berbanding 27.6 peratus ketika ini susulan pengambilalihan ber­kenaan.

“Urus niaga itu dijang­ka tidak memberi kesan kepada pendapatan syarikat sepanjang tempoh pembinaan kerana kos pinjaman akan dikapitalisasikan.

“Sumbangan pendapatan daripada hospital baharu itu pula dijangka hanya akan mula direkodkan selepas tempoh unjuran HLIB bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028,” katanya. – UTUSAN

The post Pengambilalihan tanah pacu prospek Sunway Healthcare appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved