Pemilik iPhone di negara Kesatuan Eropah (EU) kini boleh melakukan tambatan seperti AirPods walaupun pada aksesori audio yang tidak dikeluarkan oleh Apple. Ciri Proximity Pairing ini diberikan menerusi kemas kini iOS 26.5 bagi mematuhi arahan akta Digital Markets Act (DMA) yang diberikan tahun lalu. Sebelum ini Apple menentang arahan ini kerana mengatakan ia boleh membuka risiko sekuriti kepada pemilik iPhone.

Selain sokongan tambatan mudah seakan AirPods untuk aksesori pihak ketiga, iOS 26.5 juga membawakan sokongan notifikasi yang boleh dibalas pada peranti selain Apple Watch. Selama ini notifikasi sekadar boleh dibaca pada jam tangan pintar pihak ketiga sahaja tetapi mesej hanya boleh dijawab menggunakan iPhone.
Akhir sekali ciri Live Activities dari iPhone kini boleh dipaparkan pada jam tangan pintar selain Apple Watch. Di bawah DMA, Apple turut diarahkan sokongan AirDrop diberikan kepada ekosistem lain. Ini telahpun dipenuhi oleh Apple selepas Google memberikan sokongan rentas platform menerusi Quick Share awal tahun ini. Google mengumumkan semua peranti Android boleh menghantar dan menerima fail menggunakan AirDrop menjelang penghujung 2026.
Yang mengecewakan ialah kesemua ciri di atas dan juga sokongan stor aplikasi pihak ketiga hanya diberikan peranti di negara-negara EU. Kepada pengguna global, sistem Apple masih dikunci di belakang pagar ekosistem tersendiri.





